Duta Afghanistan masih di Kuala Lumpur, Kabinet bincang pendirian Malaysia Jumaat ini

Firdaus Azil
September 8, 2021 13:18 MYT
Saifuddin ketika menghadiri mesyuarat pada lawatan sulung beliau di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini akan membincangkan pendirian yang bakal diambil Malaysia terhadap pendirian, dan hubungan diplomatiknya dengan Afghanistan, susulan konflik pertukaran kerajaan di negara tersebut
Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah berkata, buat masa ini Malaysia kekal bersama rakyat Afghanistan, dan akan terus memantau situasi berkenaan dari semasa ke semasa.
Selain itu, beliau berkata, keputusan Putrajaya untuk tidak menghantar pulang Duta Afghanistan ke Kuala Lumpur buat masa ini, merupakan isyarat jelas bahawa Kerajaan Malaysia menghargai hubungan bilateral yang terjalin antara dua negara setelah sekian lama.
“Pendirian kita adalah untuk menjaga hubungan dengan semua negara. Tetapi berhubung Afghanistan, kita masih belum buat pendirian. Sudah tentu kita masih bersama dengan rakyat Afghanistan.
“Dan Jumaat ini Kabinet akan berbincang tentang isu berkaitan mengenai pendirian, bantuan kemanusiaan, dan sebagainya,” katanya kepada media hari ini.
Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat pada lawatan sulung di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini hari ini.
Pada 15 Ogos lepas, media antarabangsa melaporkan kumpulan Taliban telah memasuki Kabul, dan mengambil alih pemerintahan Afghanistan selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara berkenaan.
Susulan pengambil alihan ibu negara Afghanistan terbabit, Presiden Afghanistan Mohamad Ashraf Ghani dilaporkan telah meninggalkan negara itu.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, keputusan Putrajaya untuk tidak mengeluarkan arahan untuk menghantar pulang Duta negara berkenaan, Dr Moheb Rahman Spin Ghar, adalah untuk menunjukkan Kerajaan menghargai hubungan bilateral yang terjalin sekian lama.
“Selepas apa yang berlaku di Kabul, kita tidak meminta Duta Afghanistan ke negara ini untuk tinggalkan Kuala Lumpur. Ia merupakan satu signal bahawa kita menghargai hubungan dengan Afghanistan.
“Saya tidak pasti sama ada Duta berkenaan sudah menerima watikah (baharu) dari Kabul. Tetapi kita tidak akan minta beliau pulang kerana dalam masa seperti ini, kerajaan baharu biasanya perlu masa untuk membuat keputusan mengenai wakil diplomatik dan sebagainya,” katanya lagi.
#Malaysia Afghanistan #Saifuddin Abdullah #Taliban #Wisma Putra
;