Durian segar Malaysia di China habis dijual tidak sampai 24 jam

Bernama
Oktober 4, 2024 22:34 MYT
Faktor durian yang segar dan berkualiti tinggi menyebabkan raja buah itu mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat China di setiap outlet yang dijual. - Unsplash
BEIJING: Tidak sampai 24 jam, hampir 40 tan durian segar pertama Malaysia ke China yang dipasarkan pada 26 Ogos lepas di outlet peruncitan terpilih di enam wilayah negara Tembok Besar itu habis terjual.
Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata faktor durian yang masih segar dan kualiti yang tinggi menyebabkan raja buah itu mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat China di setiap outlet yang dijual.
"Memang semua durian itu habis (terjual) pada hari pertama lagi, iaitu semasa majlis pelancaran (penjualan durian) berkenaan pada 26 Ogos lepas. Sebelum saya tinggalkan majlis lagi durian yang dibawa ke situ semua telah habis dijual," katanya ketika ditemui Bernama.
Pada Ogos lepas, Malaysia mengeksport sebanyak 40 tan metrik durian segar daripada kualiti premium seperti Musang King, Black Thorn, D24 untuk dipasarkan di enam wilayah di republik tersebut iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guangzhou, Shengzhen dan Nanning.
Norman berkata pihaknya akan mewujudkan lebih banyak penerbangan kargo antara Malaysia dan China agar durian segar dapat dibawa masuk dengan kuantiti yang besar ke negara itu pada masa hadapan.
"Kita memang ada (cadangan untuk menambah), pengusaha kita memang akan ambil peluang pasarkan durian segar, tetapi durian (segar) ini agak rumit sedikit sebab jualannya perlu dilakukan dalam masa kurang 36 jam sebab (khuatir) ia akan rosak (jika mengambil masa lebih lama)," katanya.
Sementara itu, rata-rata warga tempatan mengakui tekstur isi durian yang tebal dan rasa lemak berkrim menyebabkan durian Malaysia memberikan pengalaman yang begitu mengasyikkan setiap kali menikmati raja buah berkenaan.
Chen Jingyi, 26, berkata usaha kerajaan Malaysia mengeksport durian segar ke negara itu mengembalikan nostalgia ketika kali pertama mencuba durian tersebut semasa bercuti bersama keluarganya di Malaysia beberapa tahun lepas.
"Semasa saya pergi melancong bersama keluarga (di Kuala Lumpur, Malaysia), kami cuba makan (durian segar) Musang King, rasanya memang sangat sedap. Berbeza dengan durian yang saya makan di sini (China).
"Mungkin kerana kebanyakan durian yang datang ke sini (China) telah dibekukan atau sebagainya, kualiti dan rasanya sedikit lari berbanding durian segar," katanya.
Beliau berkata walaupun harga durian segar sedikit mahal, ia berbaloi kerana rasa serta kualiti yang ditawarkan sangat berbeza.
Bagi pekerja swasta Wang Yiming pula, rasa durian segar Malaysia yang seperti ais krim menyebabkan beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan buah tersebut.
"Durian sangat popular di Beijing dan mudah ditemui di pasar raya atau kedai buah-buahan di sini, cuma, buahnya itu kurang segar. Inisiatif Malaysia (kerajaan) mengeksport durian segar ke sini ialah langkah tepat dan hasilnya, buah itu sangat laris," katanya.
Seorang pelajar, Almasbiek Mamut, 21, berkata pertama kali merasai durian segar menyebabkan beliau terus jatuh cinta pada raja buah tersebut kerana rasanya jauh berbeza berbanding durian beku.
"Saya sangat menggemari durian segar, ia buah kegemaran saya sekarang. Isi durian sangat licin dan seperti kastard, ia memberikan rasa memuaskan yang sukar ditemui pada buah-buahan lain.
"Saya rasa saya perlu pergi ke Malaysia untuk merasai durian segar sebenar (durian baru jatuh). Saya bertuah kerana dapat membelinya," katanya.
-- BERNAMA
#durian malaysia #China #durian habis dijual #durian segar #raja buah
;