Durian premium di Pulau Pinang pada harga mampu milik bulan depan

Bernama
Mei 27, 2022 11:04 MYT
Pemilik dusun durian sekitar kawasan Sungai Ara di George Town membawa bakul yang berisi durian untuk dijual kepada pemborong Durian Cap Tupai, 25 Mei 2022. --fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Penggemar durian akan dapat menikmati raja buah itu pada harga lebih mampu milik pada Jun kerana harganya dijangka menurun berikutan lebihan bekalan di negeri lain.
Pemilik dusun durian Lai Kuan Beng, 50, berkata pada masa ini hanya Pulau Pinang yang mempunyai lebih banyak bekalan buah itu di pasaran sejak awal bulan ini disebabkan tempoh pengeluaran durian di negeri ini adalah pada pertengahan April atau awal Mei, bergantung kepada cuaca.
"Harga agak tinggi sekarang kerana kurang bekalan berikutan musim durian belum tiba ke kemuncaknya dan kebanyakan durian Pulau Pinang juga diedarkan ke negeri lain," katanya kepada Bernama ketika ditemui di dusunnya di Sungai Ara di sini.
Lai berkata durian turut ditanam di beberapa negeri termasuk Pahang, Negeri Sembilan dan Johor namun durian Pulau Pinang adalah yang paling dicari.
Beliau berkata kelemahan ringgit, kos buruh asing yang tinggi dan kenaikan harga baja adalah antara faktor menyumbang kepada peningkatan harga durian.
"Apabila musim durian bermula awal bulan ini, durian premium seperti Black Thorn berharga RM100 sekilogram, musang king RM75 sekilogram manakala Hor Lor dan Udang Merah RM50 sekilogram.
"Kini, harganya jatuh dan saya jangka ia akan terus jatuh apabila bekalan dari negeri lain diperoleh mulai bulan depan," katanya.
Beliau berkata Jun adalah masa terbaik untuk pencinta durian menikmati buah itu pada harga lebih rendah dengan lebih banyak pilihan terutama di negeri ini.
Sementara itu, pemilik kedai 1818 Durian and Fruit Dealer di Balik Pulau, Elvis Liew Min Long berkata minggu ini, beliau mengumpul lebih lima tan durian setiap hari daripada pemilik dusun di kawasan itu, yang kemudiannya akan diagihkan kepada penjual tempatan dan negeri lain.
"Kami membekal durian setiap hari kepada penjual dari pelbagai kawasan seperti Yan, Kedah; Taiping, Perak; Kuala Lumpur; dan Muar di Johor. Minggu ini harga mula turun perlahan-lahan," katanya.
-- BERNAMA
#durian premium #pulau pinang #harga mampu milik #lebihan bekalan durian
;