Durian 'Mustaqim': Karya santai, tegur sikap penjual

Bernama
Julai 28, 2021 11:55 MYT
Muhamad Sukri telah terlibat dengan penghasilan pelbagai jenis video kreatif sejak 2016 dan banyak memenangi pertandingan yang disertai sepanjang tempoh itu. - Foto BERNAMA
DUNGUN: Durian Mustaqim bukanlah varieti baharu raja buah di negara ini, namun ia tular dan menjadi sebutan ramai susulan kreativiti seorang penggiat YouTube atau YouTuber iaitu Muhamad Sukri Sulaiman.
Anak muda berusia 26 tahun dari Kampung Sura Tengah, Dungun itu adalah pencetus kepada fenomena 'durian Mustaqim' melalui beberapa siri video yang dimuat naik ke media sosial seperti YouTube, Facebook, Tik Tok dan Instagram.
Muhamad Sukri berkata lakonan dalam video itu adalah karya santainya yang memaparkan realiti semasa mengenai durian termasuk harga tinggi yang menjadi keluhan pembeli, susah payah penanam durian dan manipulasi harga yang dilakukan oleh orang tengah dalam urusan jual beli.
"Saya pilih nama durian Mustaqim kerana sebutannya yang begitu hampir dengan Musang King. Ia sangat 'catchy' dan sesuai untuk jadi jenama dari sudut pemasaran video tersebut.
"Namun, harga durian Mustaqim iaitu RM800 untuk satu kilogram itu sekadar gurauan, tak sangka pula ia terus tular dan menjadi 'penanda aras' untuk netizen buat perbandingan harga durian di pasaran Malaysia ketika ini," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Pemilik Sukri Sulaiman Production itu bukanlah nama baharu di Terengganu kerana beliau telah terlibat dengan penghasilan pelbagai jenis video kreatif sejak 2016 dan banyak memenangi pertandingan yang disertai sepanjang tempoh itu.
"Pada mulanya, saya hanya gunakan telefon pintar sahaja untuk menghasilkan video nak bantu usahawan di sekitar Terengganu promosikan produk dan perkhidmatan mereka tanpa sebarang caj.
"Lama-kelamaan, permintaan semakin tinggi dan saya pun ada ikuti kursus daripada beberapa penggiat YouTube terkenal bagaimanakah caranya untuk menjana wang daripada video yang dihasilkan agar mampu menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama," katanya yang kini turut menganjurkan kelas untuk mereka yang berminat menjadi seorang YouTuber.
Ditanya cabaran dalam menghasilkan video durian Mustaqim yang bermula pada Mei tahun lepas, Muhamad Sukri berkata beliau terpaksa menjalankan penggambaran untuk 10 siri video tersebut (tiga siri pada 2020 dan tujuh siri pada tahun ini) di sekitar rumahnya sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara.
"Pelakon pun kawan-kawan rapat dan jiran terdekat. Kami gunakan 'props' sekadar yang ada, bina sendiri pondok durian di belakang rumah...cipta suasana yang sesuai dijadikan lokasi kebun durian.
"Dialog juga santai dalam dialek Terengganu, meskipun agak 'kasar' namun itulah realitinya perbualan rakyat di negeri ini dan kami sediakan sari kata untuk memudahkan penonton faham jalan cerita video tersebut," katanya.
Ditanya impak positif video durian Mustaqim itu, beliau berkata ramai pembeli dan penjual durian memahami pengajaran yang hendak disampaikan iaitu tidak menipu dalam urusan jual beli, menghargai kesusahan pekebun durian dan memahami konsep permintaan dan penawaran untuk durian berkualiti tinggi.
"Durian Mustaqim bukan sekadar lakonan, saya mahu berdakwah melalui video itu agar semua pihak mengamalkan konsep patuh syariah dalam kehidupan terutama dalam perniagaan.
"Begitu juga dengan ratusan video lain yang telah dihasilkan, niat saya agar penonton dapat mencari nilai-nilai murni kemanusiaan. Itu juga yang saya pesan kepada lebih 200 peserta kursus yang saya kendalikan agar mereka pastikan pelakon beragama Islam tutup aurat dan tonjolkan kebaikan agar semua yang menonton dapat sesuatu yang positif dalam video yang dihasilkan," katanya.
Selain durian Mustaqim, video hasil kru produksinya yang pernah mendapat tontonan tertinggi ialah 'Suamiku Rock' iaitu sebanyak 6.3 juta tontonan di Facebook.
Harapannya agar lebih ramai anak muda menggunakan bakat dan kreativiti yang ada di platform yang tepat kerana media sosial menawarkan potensi besar untuk menjana pendapatan lumayan pada masa ini dan akan datang.
-- BERNAMA
#perintah kawalan pergerakan #terengganu #usahawan #video #YouTube #Instagram #media sosial #syariah #telefon pintar #Facebook #durian Mustaqim #Musang King #Dungun #Muhamad Sukri Sulaiman #kreativiti #Sukri Sulaiman Production
;