Durian dilelong pada harga murah
Adie Sufian Zulkefli
Jun 18, 2020 15:15 MYT
Jun 18, 2020 15:15 MYT
Ketika sebilangan rakyat Malaysia mengeluh harga buah durian dijual terlalu mahal, namun, berbeza pula dengan suasana dengan peniaga 'Raja Buah' itu di daerah sini.
Menafikan dakwaan kononnya penjual mengambil kesempatan menjualnya pada kadar 'cekik darah', beberapa peniaga durian di sini dengan berani melelong buah berkenaan dengan harga yang sangat murah.
Beberapa peniaga di sini mengambil keputusan untuk menjual buah itu dengan harga lebih rendah bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan merasai kenikmatan durian.
Bagi seorang peniaga buah, Mohd Azizi Azizan, 29, dia sanggup menjual durian dengan harga lelong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini yang membolehkannya mendapat bekalan di Balik Pulau, Pulau Pinang dan Batu Kurau, Perak bagi membeli durian kampung yang jauh lebih murah.
Katanya, dia menjual durian kampung pada harga RM6 sekilogram hingga RM10 sekilogram berbanding harga jualan di tempat lain RM60 pada kadar yang sama.
"Bagi saya dengan harga RM6 ini memang berpatutan... hari ini saya buat promosi 10 kilogram (durian) RM60. Insya-Allah kita akan bagi berterusan... buah pun tengah banyak berlori-lori sampai.
"Memang tidak mahal boleh makanlah. Sebelum PKP mungkin harga mahal tapi dalam (fasa) PKPP kami mampu jual sekilogram RM6," katanya.
Apa yang mengejutkan, dalam empat jam durian diniagakan Mohd Aziz, sebanyak 10 tan habis terjual.
Selain durian kampung, terdapat juga durian jenis lain seperti klon, udang merah, tangkal panjang, duri hitam dan Musang King.
Seorang lagi peniaga, Zubir Hamzah, 51, berkata, kebanyakan pelanggan yang datang berpuas hati kerana harga durian yang murah selain isinya yang tidak menghampakan.
Katanya, orang ramai khususnya rakyat Kedah tidak ke Perak atau Pulau Pinang untuk membeli durian kerana mereka menjualnya setiap setiap hari sehinggalah musim durian berakhir.
Sementara itu, bagi orang awam peluang sebegini amat baik kerana buah durian yang dijual sangat elok dan harganya jauh lebih murah berbanding tempat lain.
Bahkan, rata-rata daripada pelanggan juga berpuas hati kerana buah yang tidak elok segera digantikan peniaga.
"Kalau dah sekilo RM6 memang memadailah, cukuplah boleh beli lah untuk makan," kata Syahir Hanif yang juga seorang pengaturcara komputer yang tidak ketinggalan membeli 'Raja Buah' itu.