Dunia turun ke jalanan, protes kekejaman terhadap Palestin pada 13 Januari - BDS Malaysia

Irfan Faruqi
Januari 10, 2024 22:25 MYT
Nazari berkata masyarakat dunia akan turun ke jalanan membantah pembantaian terhadap Palestin pada Sabtu. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Malaysia bersama masyarakat dunia akan turun ke jalanan bagi menyatakan bantahan pembantaian terhadap Palestin pada Sabtu.
Pengerusi Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail berkata, tindakan yang perlu digerakkan demi menoktahkan kekejaman rejim zionis adalah dengan meneruskan momentum sokongan moral kepada Palestin.
“Keperluan kita ialah bersama dengan rakyat Palestin secara sokongan moral. Kita lihat orang Palestin ini, lebih teruk sengsara, lebih kuat semangat mereka.
“Ini yang kita usahakan pada Sabtu, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan sivil seluruh dunia akan turun ke jalanan untuk protes. Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Dunia turun ke jalanan protes kekejaman terhadap Palestin pada 13 Januari - BDS Malaysia
Tambahnya, bantuan fizikal seperti makanan dan perubatan masih perlu terus disalurkan kepada penduduk yang terkesan akibat serangan rejim zionis.
Namun, beliau juga memaklumkan, bantuan sedemikian turut disalurkan oleh Amerika Syarikat dengan jumlah yang besar.
Oleh yang demikian, selain isu kebajikan tegasnya, adalah lebih mustahak untuk menghentikan sebarang bentuk penganiayaan terhadap Palestin dengan memberi tekanan agar gencatan senjata dikuatkuasakan serta sempadan negara Palestin yang dirampas secara haram oleh Israel dipulangkan.
Agenda AWANI: Hari tindakan global untuk Gaza
#Palestin #solidariti #rejim Zionis #bantuan fizikal
;