Dunia sembang tegakkan hak asasi tapi isu Palestin membisu, ini hipokrit - PM Anwar

Khalis Khadir
Disember 11, 2024 15:00 MYT
Anwar (bawah, tengah) hadir pada Sidang Kumpulan Visi Strategik: Interaksi Antara Rusia dan Dunia Islam di sini hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Komuniti antarabangsa perlu bangkit untuk menegakkan semula prinsip asas keadilan dan kesaksamaan yang menjadi tunjang kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ringkasan AI
  • Kritikan terhadap Sikap Berdiam Diri: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengkritik sikap berdiam diri komuniti antarabangsa terhadap konflik, khususnya penderitaan rakyat Palestin, yang dianggapnya sebagai ancaman besar jika tidak ditangani.
  • Jurang antara Misi PBB dan Realiti: Anwar menegaskan bahawa terdapat jurang yang ketara antara misi asal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menentang kolonialisme dan toleransi dunia terhadap amalan kolonialisme masa kini.
  • Seruan untuk Tindakan Kolektif: Beliau menyeru komuniti antarabangsa untuk memulihkan nilai moral dan keadilan dengan kembali kepada prinsip asas PBB, serta mengkritik hipokrasi negara-negara yang memperjuangkan hak asasi manusia tetapi mengabaikan ketidakadilan yang jelas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sikap berdiam diri terhadap konflik hari ini terutama penderitaan rakyat Palestin akan menjadi barah jika tiada tentangan masyarakat dunia.
Ketika berucap merasmikan Sidang Kumpulan Visi Strategik: Interaksi Antara Rusia dan Dunia Islam, Anwar mempersoalkan jurang antara misi asal PBB dengan toleransi dunia terhadap amalan kolonialisme pada masa kini.
“PBB ditubuhkan untuk menentang kolonialisme, namun hari ini dunia seolah-olah membenarkan dan menerima kolonialisme.
“Di Palestin, harta benda mereka dirampas, kekayaan mereka diranap dan tanah serta nyawa mereka dilenyapkan. Keheningan dunia terhadap perkara ini amat mengejutkan,” katanya di sini pada Rabu.
Beliau menyeru komuniti antarabangsa untuk memulihkan nilai moral yang telah merosot dengan menegaskan bahawa kegagalan dunia menangani isu berkenaan membuktikan keadilan semakin terhakis.
Anwar turut mengkritik hipokrasi negara-negara yang memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi, namun menutup mata terhadap pelanggaran yang jelas.
“Mengapa bercakap tentang moral dan hak asasi manusia apabila ketidakadilan seperti ini diabaikan? Wujud jurang yang jelas antara apa yang diperkatakan dengan apa yang diamalkan,” katanya.
Beliau menekankan perlunya tindakan kolektif dalam kalangan negara-negara untuk menyelaraskan semula tadbir urus global dengan prinsip asal PBB.
“Adalah penting untuk kembali kepada nilai asas keadilan dan kesaksamaan bagi memulihkan kepercayaan dan akauntabiliti di peringkat dunia,” ujarnya.
#Anwar Ibrahim #Palestin #Forum Rusia #terkini #Islam
;