Dunia semakin tidak menentu, Malaysia perlu perkukuh kekuatan dalaman – PM Anwar
Firdaus Azil
Januari 24, 2025 15:12 MYT
Januari 24, 2025 15:12 MYT
DENGKIL: Di sebalik ketidaktentuan global, ada keperluan mendesak untuk Malaysia memperkukuhkan kekuatan dalaman, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan mendesak untuk Malaysia memperkukuhkan kekuatan dalaman dalam menghadapi ketidaktentuan global.
- Rakyat Malaysia perlu memberi fokus kepada bidang kritikal seperti ilmu, kemahiran, keterampilan, dan kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan negara tidak ketinggalan.
- Lawatan kerja Perdana Menteri ke UAE dan sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 mendorong beliau untuk menggesa rakyat mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran global.
Beliau berkata, rakyat perlu bangkit dan memberi fokus kepada bidang yang kritikal seperti ilmu dan kemahiran, keterampilan, serta kecerdasan buatan (AI), jika tidak mahu negara terus ketinggalan.
Perdana Menteri berkata, lawatan kerja beliau ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE), serta sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland baru-baru ini, mendorong beliau untuk terus menggesa rakyat Malaysia mempersiapkan diri bagi menghadapi ketidaktentuan global.
“Dan sekarang ini dengan dasar Amerika Syarikat tak menentu, kita harus bina kekuatan dalaman, yang bagi saya sangat mendesak, sangat asasi dan saya juga tumpukan untuk perkukuhkan semula dengan ASEAN sebagai kekuatan.
“Jadi saya mohon kalau boleh kita jelaskan betul-betul, bahawa dalam dunia yang mencabar dan penuh persaingan dan ketidaktentuan ini, rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punyai semangat untuk angkat martabat bangsa dan negara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Pusat Islam UiTM Dengkil pada Jumaat.