Dunia mahu belajar cara Malaysia perangi rasuah, Tun Mahathir dijemput beri ucaptama
Israr Khalid
Januari 19, 2019 20:49 MYT
Januari 19, 2019 20:49 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pemimpin Malaysia pertama dijemput menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Agung dan Mesyuarat Tahunan ke-10 Persatuan Pihak Berkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IACAA).
Ia merupakan kemuncak acara sempena lawatan kerja beliau bermula 20 hingga 22 Januari ini ke Vienna, Austria yang menjadi tuan rumah persidangan tersebut.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Austria yang juga Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Datuk Ganeson Sivagurunathan, jemputan IAACA itu menunjukkan bahawa dunia mahu belajar daripada usaha Malaysia menangani rasuah.
"Antara isu yang akan diketengahkan dalam ucaptama itu ialah cara Malaysia menangani gejala rasuah dalam negara, inisiatif pencegahan rasuah kerajaan dan usahanya dalam menambah baik tadbir urus.
"Terutamanya pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, banyak negara memandang tinggi Malaysia apabila kita juga menjadi model terbaik demokrasi selepas proses transisi yang lancar juga kerajaan yang komited memerangi rasuah," katanya dalam satu sidang media di sini pada Sabtu.
Dr Mahathir juga dijadual akan menyampaikan syarahan di Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA) yang bertajuk 'Fighting Corruption in Malaysia: Achievements, Challenges dan Perspectives.'
Selain itu, pemimpin negara tertua di dunia itu turut akan bertemu Canselor Republik Austria, Sebastian Kurz yang merupakan pemimpin negara termuda di dunia pada usia 32 tahun dan juga Presiden republik itu, Alexander Van der Bellen.
Pertemuan antara dua pemimpin itu dijangka akan membincangkan tentang usaha mempererat hubungan bilateral Malaysia-Austria dan bertukar pandangan khususnya adalm bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, sains dan teknologi serta pelancongan, juga isu serantau dan antarabangsa.
"Di samping itu, Dr Mahathir juga akan bertemu Komuniti Perniagaan Austria untuk mengetengahkan potensi dan peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia," katanya.
Beliau juga akan mengambil kesempatan bertemu kira-kira 330 diaspora Malaysia yang menetap di Austria dan Republik Slovak.
Untuk tempoh Januari hingga November 2018, jumlah dagangan antara Malaysia-Austria adalah RM3.09 bilion, meningkat 22 peratus berbanding RM2.53 bilion dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Jumlah eksport Malaysia ke Austria pada 2018 pula adalah RM470 juta, sementara import dicatatkan pada RM2.62 bilion, menjadikan Austria rakan dagang ke-10 Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
#EU
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#model
#PBB
#pelaburan
#pelancongan
#pendidikan
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#PM
#Rasuah