Dunia kewartawanan alami kesegaran selepas 2018, tapi masih berdepan kekangan - Johan Jaaffar

Hasimi Muhamad
Mei 26, 2022 12:00 MYT
Dalam era ledakan internet dan sosial media, Tan Sri Johan Jaafar berkata, kerajaan tidak seharusnya berpegang lagi kepada akta-akta yang dilihat tidak lagi relevan. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mempertimbangkan untuk menyemak semula atau menghapuskan akta-akta yang disifatkan kuno, tidak lagi relevan dan menyekat kebebasan media di negara ini.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, ia termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 dan Akta Hasutan 1948, yang dilihat tidak mengancam berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dimansuhkan oleh kerajaan sebelum ini.
Dalam era ledakan internet dan sosial media, beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya berpegang lagi kepada akta-akta berkenaan kerana ia dianggap tidak boleh berfungsi dengan baik.
"Jadi saya percaya salah satu langkah yang kita harus diambil secara kolektif oleh golongan wartawan adalah mendesak kerajaan menghapuskan mana-mana akta yang kita (rasa) boleh mengekang kebebasan media. Ini adalah suara kaum wartawan yang penting bagi kita memastikan bahawa kita tahu tanggungjawab kita.
"Di Malaysia saya percaya setiap wartawan faham bahawa Malaysia adalah sebuah negara membangun, negara pelbagai kaum dan kita ada sensitiviti kaum, agama, kebudayaan dan sebagainya. Ertinya kebebasan itu bukan kebebasan mutlak dalam konteks kita boleh berbuat apa sahaja, kita faham.
"Saya juga percaya setiap wartawan di Malaysia dari mana pun mereka, mereka sedar dan faham tentang hal itu. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh membuat teguran kepada dasar, memberikan komentar dan sebagainya," katanya dalam temu bual sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang akan berlangsung di Melaka pada Ahad ini.
Mengulas lanjut, Johan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan bekas Pengerusi Media Prima Berhad berkata, walaupun masih ada kekangan, namun beliau mengakui dunia kewartawanan negara telah melalui proses kesegaran selepas tahun 2018.
Justeru, beliau berpandangan, industri media perlu menggunakan kesempatan daripada kebebasan itu untuk melakukan reformasi dari segi penyampaian berita dan menyuarakan teguran.
"Kita harus ingat apa yang berlaku di Indonesia pada tahun 1998, apabila berlaku reformasi politik tetapi pada masa yang sama berlaku pembebasan media yang luar biasa dan pada hari ini media Indonesia mengecap nikmat kebebasan yang tidak pernah terfikir pun.
"Saya juga percaya bahawa setelah 2018 kita dapat melihat berlaku perubahan yang sangat jelas tentang keupayaan kerajaan atau mana-mana pemerintah untuk mengawal media.
"Jadi kebebasan itu nampaknya telah diberikan. Saya faham memang ada kalanya rasa tidak puas hati pada peringkat pemerintah dengan laporan media dan sebagainya. Tetapi kita harus mengambil sikap bahawa apa yang penting bagi kita ialah orang yang membaca, mendengar dan orang menonton kita.
"Realitinya bahawa pengguna itu selalu betul. Maka, kita harus mengambil sikap bahawa kita bertanggungjawab kepada pihak berkepentingan kita," ujarnya lagi.
Mengenai persepsi masyarakat bahawa wartawan hanya melaporkan bagi satu pihak sahaja pula, Johan berkata, kewartawanan pada masa ini tidak boleh lagi mengikut format lama atau 'slang' politik.
Tambah beliau, institusi penerbitan berita dan stesen televisyen yang dianggap membuat liputan daripada satu sudut sahaja juga telah 'dihukum' oleh pembaca dan penonton mereka.
"Sebab itu dalam tradisi pensuratkhabaran di Malaysia, kita dengar cerita tentang editor yang dibuang, diketepikan dan sebagainya.
"Tetapi bagi saya ialah apa yang penting adalah sistem politik, orang politik atau kerajaan datang dan pergi. Namun, yang tidak ke mana-mana adalah wartawan.
"Pada akhirnya, kita bukan diukur dari segi sejauh mana sokongan kita kepada mana-mana parti politik atau institusi, tetapi kita diukur berdasarkan profesionalisme. Maka itu kita harus mendukung profesionalisme kewartawanan itu pada tahap yang tertinggi," katanya lagi.
#Hari Wartawan Nasional #Kebebesan media Malaysia #PRU14 #Tokoh Wartawan Negara
;