Dunia jangan hanya 'bermain kata' pertahan Palestin - Zambry

Hasimi Muhamad
November 29, 2023 18:00 MYT
Zambry menegaskan semua negara perlu memainkan peranan untuk menghentikan kitaran keganasan di rantau tersebut - Foto fail
KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus bermain dengan kata-kata dalam mempertahankan hak mutlak rakyat Palestin.
Sebaliknya, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan semua negara perlu memainkan peranan untuk menghentikan kitaran keganasan di rantau tersebut.
Jelas beliau, tindakan tegas perlu diambil dengan melakukan segala daya usaha menyokong penubuhan negara Palestin yang bebas dan merdeka selaras dengan konsep penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
"Pendudukan haram dan tidak tidak berperikemanusiaan oleh Israel di bumi Palestin mesti ditamatkan. Ia adalah satu-satunya penyelesaian.
"Melangkah ke hadapan, adalah penting agar suara rakyat Palestin sentiasa didengari, lantang dan jelas dalam melakar masa depan mereka sendiri.
"Rakyat Palestin harus dilibatkan depan dan tengah dalam sebarang perbincangan mengenai tadbir urus negara mereka.
"Hasrat rakyat Palestin mesti jadi teras kepada sesuatu perbincangan. Ia adalah satu-satunya cara untuk memastikan kredibiliti proses tersebut dan kejayaannya," katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Mesyuarat Pleno Sesi Ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengenai isu Palestin, di New York, Amerika Syarikat, hari ini.
Paling penting, Zambry menambah, prinsip keadilan dan akauntabiliti harus dipertahankan, selain segala perlanggaran undang-undang antarabangsa mesti disiasat.
Tegas beliau, pihak yang melakukan jenayah perang tidak boleh dibebaskan.
"Sikap pilih kasih dan pelaksanaan undang-undang antarabangsa hanya menggalakkan lebih banyak pelanggaran undang-undang tersebut.
"Peperangan di Gaza ini adalah ujian litmus bagi masyarakat antarabangsa dan organisasi ini. Jenayah perang telah dilakukan dengan jelas dan terang-terangan dalam peperangan ini," katanya lagi.
Selain itu, beliau berkata kegagalan untuk membawa pelaku jenayah perang ke muka pengadilan hanya akan mengesahkan persepsi hipokrit, pilih kasih dan 'double standard'.
"Ia akan terus menghakis kepercayaan terhadap sistem pelbagai hala dalam mendepani pelbagai cabaran global," ujar Zambry.
#Zambry Abdul Kadir #kezaliman Zionis #Peperangan di Gaza #Pendirian Malaysia
;