Dunia jadi semakin miskin, tanpa kepelbagaian budaya - Sultan Nazrin

Amirrul Rabbani
Oktober 18, 2022 12:55 MYT
Sultan Nazrin bertitah perubahan sikap terhadap kepelbagaian budaya ini merupakan suatu tragedi kerana ia menyemai benih perpecahan sehingga membawa kepada pengusiran warga dan krisis pelarian. - Foto BERNAMA
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan situasi semasa yang memperlihatkan konsep 'pelbagai budaya', 'kepelbagaian,' dan 'toleransi' dijadikan ‘senjata’ dalam perang budaya wacana politik di peringkat antarabangsa.
Titah baginda, tanpa kepelbagaian budaya, dunia menjadi semakin miskin serta rakyat di serata dunia semakin hari semakin enggan berkongsi nilai kemanusiaan.
Sultan Nazrin bertitah perubahan sikap terhadap kepelbagaian budaya ini merupakan suatu tragedi kerana ia menyemai benih perpecahan sehingga membawa kepada pengusiran warga dan krisis pelarian.
“Ia suatu tragedi kerana ia menyemai benih-benih perpecahan di dalam sesebuah negara, yang berkemungkinan memuncak menjadi konflik yang lebih parah, sehingga membawa kepada pengusiran warga dan krisis pelarian yang saya sebutkan sebelum ini.
“Pada masa yang sama ia sebuah tragedi kerana kitalah yang bakal kerugian apabila kita menolak dan menafikan kepelbagaian budaya. Tanpa kepelbagaian budaya, dunia kita menjadi semakin miskin.
“Dengan adanya pelbagai asal usul, pelbagai kepercayaan, dan kepelbagaian etnik, begitu banyak yang menguntungkan kita dan begitu banyak yang ‘kita kenali antara satu dengan yang lain’ seperti yang dianjurkan Al-Quran,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah ketika menyampaikan ucaptama pembukaan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) kali ke-6 di Pusat Konvensyen Meru Raya, di sini pada Selasa.
Turut berangkat Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.
WCIT | Dunia jadi semakin miskin, tanpa kepelbagaian budaya
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Naib Canselor USAS, Profesor Tan Sri Nordin Kardi.
WCIT yang dianjurkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu mengangkat ‘Berkongsi Nilai Kemanusiaan Kita’ sebagai tema.
Pada masa sama Sultan Nazrin bertitah realiti laporan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) disifatkan sebagai sesuatu yang menyedihkan dan memerlukan tindakan pantas.
Baginda bertitah daripada 27 juta orang pelarian di seluruh dunia ketika ini, lebih 10 juta daripadanya berasal dari negara-negara Islam, iaitu mewakili satu pertiga jumlah pelarian seluruh dunia.
“Kehadiran begitu ramai insan yang terbuang di dunia kita ketika ini, malah, keberadaan misalnya 13 juta orang pelarian kanak-kanak, sudah tentunya menunjukkan kegagalan umat manusia pada skala antarabangsa.
“Kita, seluruh dunia secara amnya dan umat Islam secara khususnya perlu berusaha lebih gigih untuk menunjukkan malah berkongsi sifat kemanusiaan, dengan hasrat menyediakan kediaman dan harapan buat mereka yang malangnya kehilangan kedua-duanya,” titah Sultan Perak.
Selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2018, WCIT 2022 kali ini turut menampilkan beberapa tokoh pemikir dalam dan luar negara.
Antaranya Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus; Chargee d’affaires Kedutaan Perancis di Malaysia, Virginie Bioteau; Chargee d’affaires Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Timo Goosmann dan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia, Dr Sandiaga Salahuddin Uno.
#Sultan Perak #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah #kepelbagaian budaya #perang budaya
;