DUN Selangor lulus usul sidang dilaksana secara dalam talian atau hibrid

Bernama
Ogos 30, 2021 20:22 MYT
DUN Selangor meluluskan usul bagi membolehkan mesyuarat DUN dijalankan dalam talian secara keseluruhan atau separa pada masa akan datang. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul bagi membolehkan mesyuarat DUN dijalankan dalam talian secara keseluruhan atau separa pada masa akan datang.
Usul itu dibawa oleh Datuk Teng Chang Khim (PH-Bandar Baru Klang).
Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata susulan itu, pindaan akan dibuat ke atas Peraturan-Peraturan Tetap 21 dan 69 (4) bagi membolehkan sidang dewan dilaksanakan secara hibrid atau maya sekiranya berlaku perkara di luar jangka atau kemudaratan pada masa akan datang.
"Ia telah diluluskan tadi oleh ahli dewan untuk diserah kepada Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap bagi membincangkan pengisian yang rapi bagaimana untuk dilakukan kuasa yang diberikan kepada Speaker untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.
"Lepas ini, Jawatankuasa Peraturan Tetap yang dipengerusikan oleh saya bersama dengan enam lagi ahli termasuk pembangkang akan bersidang dan bermesyuarat dalam seminggu dua ini bagi membincangkan pengisian yang terperinci untuk dicatitkan di dalam Buku Peraturan Tetap Dewan serta dibentangkan pada persidangan akan datang," katanya kepada pemberita di lobi DUN hari ini.
Beliau juga berkata persidangan enam hari itu berjalan lancar dan semua pihak memberikan kerjasama yang baik terutama dalam pematuhan prosedur operasi standard.
Sidang DUN Selangor ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
-- BERNAMA
#DUN Selangor #Sidang dalam talian #persidangan dewan undangan negeri #Teng Chang Khim #hibrid
;