DUN Selangor lulus 10 usul pelantikan Ahli Jawatankuasa Pilihan
Bernama
November 24, 2023 22:51 MYT
November 24, 2023 22:51 MYT
SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan 10 usul pelantikan ahli Jawatankuasa Pilihan (JP) baharu pada Penggal Pertama Persidangan Dewan ke-15.
Sepuluh usul pelantikan Ahli JP tersebut adalah JP Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT); JP Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT); JP Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS); JP Peraturan-peraturan Tetap; JP Hak dan Kebebasan Dewan; serta JP Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).
Selain itu, turut dikemukakan usul mengenai JP Khas Pengurusan Dewan; JP Khas Mengenai Perubahan Iklim, Kebajikan, Kesihatan, Pendidikan, Pembangunan Keluarga, Agama, Wanita serta Kesejahteraan Hidup (JPK - SEJAHTERA) serta Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali .
Kesemua usul itu dibentangkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Terdahulu, DUN Selangor hari ini sedikit kecoh apabila 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bertindak keluar dewan susulan tidak berpuas hati dengan senarai ahli JP tersebut.
Speaker DUN Selangor Lau Weng San berkata penubuhan kesemua jawatankuasa berkenaan akan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kerajaan negeri, selain sebagai tanda kematangan DUN Selangor dalam membawa isu rakyat serta meningkatkan proses demokrasi.
Mengulas mengenai pemilihan ahli JP, Lau berkata pihaknya sedia menerima cadangan daripada pembangkang mahupun kerajaan namun keputusan akhir akan dibuat oleh beliau sendiri.
"Isu yang dibangkitkan pembangkang kenapa nama ditukar kerana ada sesetengah ADUN diletakkan (menganggotai) lebih dua jawatankuasa pilihan. Jadi yang lebih kita kurangkan dan kita gantikan, mereka tetap dari blok yang sama," katanya kepada pemberita selepas sidang dewan.
Persidangan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
-- BERNAMA