DUN Sarawak: RUU Hutan (Pindaan) 2022 perkasa ekonomi karbon di peringkat domestik dan global
Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 19, 2022 14:13 MYT
Mei 19, 2022 14:13 MYT
KUCHING: Penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Hutan (Pindaan) 2022 akan merealisasikan agenda Sarawak meningkatkan stok karbon dan penghasilan ekonomi hijau negeri itu di peringkat global.
Dengan 7.91 juta hektar hutan, stok karbon yang sedia ada di Sarawak meletakkan negeri itu di dalam lingkungan karbon negatif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata jumlah stok karbon sedia ada yang telah dikenalpasti, diukur dan diiktiraf meletakkan Sarawak dalam kedudukan yang baik dalam kalangan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ini bukan sahaja fokus kepada perniagaan karbon, tetapi bagaiamana syarikat-syarikat besar terlibat sama dalam aktiviti pemuliharaan ini, kemudian menjana peluang pekerjaan dan aktiviti yang bermanfaat dengan memperkenalkan hutan lipur sebagai salah satu hutan kekal dan menjadikannya tempat untuk menjalankan penyelidikan, pendidikan dan pembangunan.
“Pendidikan dan rekreasi akan menggalakkan lagi pertumbuhan pekerjaan dan kepakaran baru dan berkaitan seperti kejuruteraan alam sekitar, para pengkaji, dan sebagainya, ini akan memberi peluang kepada anak-anak kita untuk mendapat pekerjaan yang berpendapatan tinggi,” katanya dalam sesi perbahasan selepas bacaan kali kedua RUU Hutan (Pindaan) di DUN Sarawak pada Khamis.
Dalam pada itu, ADUN Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan berbesar hati untuk menawarkan kepada kerajaan negeri menjadikan kawasan itu sebagai salah satu projek stok karbon di Sarawak.
Jelasnya, dengan lulusnya pindaan RUU berkenaan, entiti atau pemilik tanah dan kerajaan negeri mempunyai pilihan untuk menjadikan sesebuah kawasan itu sebagai stok karbon atau karbon kredit.
“Perkara ini akan memberi manfaat pulangan ekonomi kepada rakyat sebagai pemilik tanah dan membentuk satu model perniagaan yang mampu menjamin kelestarian hutan negeri ini termasuk dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon atau mencapai sifat pelepasan.
“Melalui institusi VERRA (organisasi menyelia pelepasan karbon global), karbon stok yang kita hasilkan akan mendapat pengiktirafan dan diiktiraf dunia sebelum dijual dijadikan produk kepada pasaran karbon,”
Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan membentangkan bacaan kali RUU Hutan (Pindaan) 2022 bagi meletakkan stok karbon dan stok gas rumah hijau (GHG) terangkum dalam hasil hutan negeri itu melalui aktiviti karbon hutan berlesen yang dijalankan di hutan kekal sama ada milik negeri atau tanah persendirian.
Merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Awang Tengah berkata pindaan itu bertujuan untuk menambah baik pengurusan hutan dan sumber semula jadi melalui penciptaan hutan lipur bagi tujuan pendidikan, penyelidikan dan rekreasi dan pelesenan Aktiviti Karbon Hutan di Sarawak.
Sarawak mempunyai jumlah keluasan tanah kira-kira 12.4 juta hektar merangkumi 7.7 juta hektar iaitu 62 peratus masih di bawah kawasan tutupan hutan.
Di bawah Dasar Guna Tanah Sarawak, 7 juta hektar telah diperuntukkan untuk perhutanan dan pemuliharaan mampan.
Daripada jumlah tersebut, 6 juta hektar adalah Hutan Kekal (PF) dan 1 juta hektar adalah Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) membenarkan penyerapan karbon dilakukan untuk membentuk stok karbon dan memperolehi unit kredit karbon.