DUN Sarawak: Pengeluaran stok karbon dijangka jana pendapatan negeri RM315 juta setahun
Fadilah Sulaiman
Mei 19, 2022 15:22 MYT
Mei 19, 2022 15:22 MYT
KUCHING: Sarawak dijangka memperoleh sumber pendapatan baharu dianggarkan RM315 juta setahun, melalui pengeluaran stok karbon, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Membentang pindaan Rang Undang-undang (RUU) Hutan 2022 untuk bacaan kali kedua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Awang Tengah berkata, untuk itu, kerajaan negeri mengusulkan stok karbon dan stok gas rumah hijau (GHG) kini terangkum sebagai hasil hutan negeri Sarawak.
“Selepas itu, Sarawak akan melesenkan aktiviti karbon hutan yang dijalankan di hutan kekal di negeri ini, sama ada milik negeri atau tanah persendirian.
"Ketika ini, harga karbon Bank Dunia semasa adalah sebanyak USD5.00 setan (RM20) dengan anggaran 30 peratus dari hutan kekal mempunyai unit kredit karbon menghasilkan karbon pada kadar 200 tan karbon/hektar," katanya pada sesi bacaan kali kedua pembentangan RUU Hutan 2022 pada Khamis.
Menjelas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu berkata, semua aktiviti hutan lipur bagi tujuan pendidikan, penyelidikan dan rekreasi hanya dapat dilaksanakan setelah fi dan caj yang diperlukan dilunaskan.
Awang Tengah yakin, selepas pindaan ini, Kerajaan Sarawak akan dapat menggalakkan aktiviti di dalam hutan yang sekali gus dapat mengurangkan kesan buruk terhadap perubahan iklim.
“Ini dicapai melalui penyerapan karbon dan sinki karbon, yang kemudian menghasilkan stok karbon," katanya.
Aktiviti ini katanya lagi, akan disahkan mengikut Piawaian Karbon Disahkan (VCS) oleh VERRA atau institusi global lain yang diiktiraf untuk mengira pengeluaran unit karbon disahkan untuk dagangan.
“Unit karbon yang disahkan akan didaftarkan mengikut Peraturan Standard Karbon yang boleh didagangkan secara global. Peraturan ini juga akan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengutip royalti, premium, levi atau cukai untuk atau berkaitan dengan aktiviti karbon hutan,” katanya.
Untuk rekod, Sarawak mempunyai tanah seluas kira-kira 12.4 juta hektar, termasuk 7.7 juta hektar atau 62 peratus masih dilitupi hutan.
Di bawah Dasar Guna Tanah Sarawak, tujuh juta hektar tanah itu telah diperuntukkan untuk perhutanan dan pemuliharaan mampan.
Daripada jumlah tersebut, enam juta hektar adalah hutan kekal dan satu juta hektar adalah kawasan terlindung sepenuhnya.