DUN Sarawak bersidang lapan hari, enam RUU dibentang

Nuzuluddin Abdul Razak
November 20, 2022 20:28 MYT
Persidangan DUN itu dijadual berlangsung selama lapan hari bermula 21 hingga 30 November, Rabu depan.
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membentangkan enam Rang Undang-Undang (RUU) pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.
Persidangan kali ini akan menyaksikan pembentangan RUU Kerajaan terutamanya RUU Perbekalan (2023), 2022 atau pembentangan bajet.
Dua RUU akan dibentangkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru melibatkan RUU Perbekalan (2023) 2022 dan RUU Lembaga Dana Kekayaan Masa Depan, 2022.
Antara RUU lain yang akan dibentangkan ialah RUU Aktiviti Elektronik Kerajaan 2022, RUU Perlembagaan Kerajaan Negeri (Pindaan) (No2) 2022, dan Kesihatan Awam Veterinar (Pindaan) 2022.
Sementara Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan akan membentangkan RUU Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC) (Pindaan) 2022.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Awang Asfia Awang Nassar berkata sebanyak 286 soalan untuk jawapan lisan dan bertulis diterima daripada Ahli Yang Berhormat dengan Kementerian Kesihatan Awam menerima jumlah soalan tertinggi sebanyak 45.
“RUU Perlembagaan Kerajaan Negeri (Pindaan) (No.2) 2022 adalah berkaitan Anti Lompat Parti sejajar dengan pindaan yang sudah digubal di bawah Jadual Ke-8 Pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media Persidangan DUN Sarawak ke-19 di sini pada Ahad.
Bacaan kali pertama bagi kesemua RUU akan dilakukan pada hari pertama persidangan iaitu Isnin, 21 November manakala bacaan kali kedua dan ketiga RUU Perbekalan (2023) 2022 masing-masing dilakukan juga oada hari Isnin dan 30 November, Rabu.
Persidangan DUN itu dijadual berlangsung selama lapan hari bermula 21 hingga 30 November, Rabu depan.
#Sidang DUN Sarawak #Enam RUU #Sarawak #Abang Johari Tun Openg
;