DUN Sabah: Usul bahas tuntutan waris Kesultanan Sulu ditolak

Astro Awani
Julai 18, 2022 14:29 MYT
Dalam ucapan balas, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, usul itu tidak semestinya dibahaskan hari ini dan ia mungkin boleh dibincangkan pada penghujung sidang DUN iaitu Khamis. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini menolak usul untuk membincang dan membahas mengenai ancaman keselamatan waris Kesultanan Sulu.
Usul yang dibawa Ketua Pembangkang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditolak susulan tidak memenuhi Peraturan 23 (2) DUN Sabah.
Penolakan usul itu diumumkan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
"Saya telah menerima satu usul daripada ADUN Senallang pada jam 11.20 pagi di bawah peraturan mesyuarat 23 (1). Namun demikian setelah meneliti Peraturan 23, saya memutuskan untuk menolak usul tersebut berasaskan Peraturan 23 (2) yang mana permohonan telah dibuat kurang daripada 24 jam ditetapkan sebelum bermulanya sidang.
"Jadi disebabkan usul hanya dikemukakan pada pukul 11.25 pagi tadi maka 24 jam tidak dipenuhi di bawah Peraturan 23 (2) dan dengan itu usul ditolak," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Dalam ucapan balas, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, usul itu tidak semestinya dibahaskan hari ini dan ia mungkin boleh dibincangkan pada penghujung sidang DUN iaitu Khamis.
Hal ini kata Shafie, penting memandangkan ia mengambil kira kedaulatan Sabah dan rakyat negeri ini.
"Lebih 60 tahun isu ini menghantui kita, saya tidak mengiktiraf Sultan Sulu ini... tidak. Tetapi perkara ini penting melibatkan perundangan yang ada.
"Malah saya akan bawa perkara ini ke Parlimen minggu depan," katanya.
#DUN Sabah #Waris Kesultanan Sulu #Shafie Apdal #kedaulatan sabah
;