DUN Sabah: Usul bahas isu tuntutan waris Kesultanan Sulu ditolak sekali lagi

Mirlen Axtius
Julai 21, 2022 12:03 MYT
Presiden Parti Warisan itu memaklumkan sudah menghantar permohonan semula meminta izin majlis membincang dan membahaskan mengenai keselamatan Sabah terhadap ancaman waris Kesultanan Sulu.
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini sekali lagi menolak usul membincang dan membahaskan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu yang dibawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, penolakan itu dibuat mengikut peraturan tetap 23 A (2) mana-mana usul yang ditolak di bawah perenggan satu tidak boleh dikemukakan dan tidak boleh dibacakan dalam majlis mesyuarat.
"Maka permohonan (membahaskan semula) usul itu telah saya tolak dan saya telah sampaikan kepada yang berhormat (Shafie)," katanya pada Sidang DUN Sabah pada Khamis.
Terdahulu sebelum memulakan sesi pertanyaan-pertanyaan untuk jawapan lisan Aturan Urusan Mesyuarat Penggal Ketiga DUN Sabah ke-16, Shafie Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang bangun dengan membawa peraturan tetap (standing order) 31.
Beliau yang juga Presiden Parti Warisan itu memaklumkan sudah menghantar permohonan semula meminta izin majlis membincang dan membahaskan mengenai keselamatan Sabah terhadap ancaman waris Kesultanan Sulu.
"Permohonan semula ini adalah untuk meminta izin membahaskan mengenai keselamatan bukan Sabah dan bukan mengenai Azerbaijan dan Mahkamah di Sepanyol tetap tentang keselamatan serta ancaman perkara ini kepada Sabah.
"Isu ini penting berkaitan nyawa. Jangan nanti berlaku kejadian di bumi Sabah (keselamatan)," katanya.
#DUN Sabah #Isu tuntutan waris Sultan Sulu #DUN Sabah tolak #Shafie Apdal
;