DUN Sabah: Transformasi sektor pertanian wajar, elak krisis makanan - Ghulam Haidar
Astro Awani
November 28, 2022 15:55 MYT
November 28, 2022 15:55 MYT
KOTA KINABALU: Penekanan Belanjawan Sabah 2023 bagi sektor pertanian penting dalam usaha mentransformasikan sektor itu supaya lebih moden dan dinamik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata, usaha transformasi itu seiring dengan jaminan sekuriti makanan di Sabah ekoran krisis makanan dunia.
"Sejumlah RM501.54 juta yang disediakan kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan dalam Belanjawan 2023. Ini merupakan suatu peruntukan yang wajar untuk sebuah kementerian yang amat relevan, dalam memastikan kita di negeri ini mampu bertahan dan sara diri, dari segi bekalan makanan.
"Kita berharap peruntukan yang disediakan itu dapat memastikan program bagi sektor-sektor makanan terus berkembang maju demi untuk memenuhi permintaan pengguna dan keperluan dalam negeri seperti beras, sayur-sayuran, serta ikan, daging, ayam, dan telur yang diperlukan rakyat setiap hari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas dan menyokong Belanjawan 2023 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah 2023.
Tambah Ghulam Haidar, langkah Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Pusat pada April tahun ini, bagi pembangunan sektor agromakanan di negeri ini dilihat tepat pada masanya.
Menurutnya, MOU antara Agrobank dan SEDCO bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam aktiviti pelaburan dan meningkatkan sinergi bagi membangunkan Sabah Agroindustrial Presinct (SAIP).
"SAIP merupakan sebuah presint teknologi yang berfungsi sebagai platform untuk pembangunan Industri asas tani yang memberi tumpuan kepada pembangunan agromakanan dan tanaman khusus/produk semulajadi didorong oleh inovasi pemprosesan teknologi dan R&D di kawasan seluas 215 ekar terletak di Kimanis Papar.
"Usaha-usaha dan kerjasama strategik yang dilaksana ini diharap mampu meningkatkan jaminan bekalan makanan serta menjamin sekuriti makanan, selain membantu petani dan pengusaha agromakanan," katanya.
Selain itu, Ghulam Haidar turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10.