DUN Sabah luluskan Belanjawan Negeri 2025
Bernama
November 20, 2024 23:03 MYT
November 20, 2024 23:03 MYT
KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 (Belanjawan Sabah 2025) selepas sesi perbahasan dan penggulungan sejak Isnin lepas.
RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah melalui undian suara.
Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya mengumumkan perkara itu selepas bacaan kali ketiga RUU berkenaan oleh Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.
Pada Jumaat lepas, Masidi membentangkan belanjawan berjumlah RM6.42 bilion itu yang juga tertinggi dalam sejarah, dengan anggaran lebihan RM24.08 juta.
Masidi ketika membentang belanjawan bertemakan "Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera" itu berkata kerajaan negeri mengunjurkan hasil sebanyak RM6.44 bilion tahun depan, menjadikan ia belanjawan lebihan.
Terdahulu ketika menggulung perbahasan itu hari ini, beliau berkata untuk tahun ini pungutan hasil negeri setakat hari ini adalah RM5.93 bilion atau 87.6 peratus daripada Anggaran Hasil Disemak.
"Kedudukan kewangan negeri Sabah kekal kukuh dengan mencatatkan lebihan kewangan sebanyak RM624.6 juta. Ini mencerminkan pengurusan kewangan yang berhemah dan berkesan dalam mengimbangi hasil negeri dengan perbelanjaan.
"Lebihan ini juga menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan sumber kewangan diurus secara strategik untuk memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat namun kerajaan negeri tidak akan alpa atau merasa selesa dengan kedudukan ini," katanya.
Beliau berkata perlaksanaan cukai jualan negeri ke atas lima produk iaitu besi buruk dan buangan, ammonia dan urea, metanol, pasir silika, serta biojisim kelapa sawit telah berjaya menjana RM226.01 juta setakat bulan lepas (Oktober).
Masidi berkata persediaan untuk mengenakan cukai jualan negeri ke atas emas dan perak, kini dalam peringkat akhir dan akan mula dikuat kuasa Januari depan.
"Dianggarkan cukai jualan baharu ini dapat menyumbang lebih kurang RM5.7 juta pada tahun hadapan bergantung kepada harga dan kuantiti produk tersebut," katanya.
Kadzim kemudian menangguhkan persidangan itu ke hari esok.
-- BERNAMA