DUN Sabah lulus Belanjawan Negeri 2019
Bernama
November 14, 2018 04:47 MYT
November 14, 2018 04:47 MYT
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah malam tadi meluluskan Belanjawan Negeri 2019 berjumlah RM4.16 bilion.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Menteri Kewangan negeri telah membentangkan belanjawan lebihan pada 9 Nov lepas.
Terdahulu ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya, Mohd Shafie berkata Belanjawan Sabah 2019 menekankan perancangan kewangan yang menggambarkan aspirasi kerajaan negeri untuk mengekal dan meningkatkan prestasi pertumbuhan ekonomi serta diseimbangkan dengan matlamat untuk menyejahterakan rakyat dengan mengambil kira persekitaran dalaman, luaran dan cabaran globalisasi.
Katanya, kerajaan negeri percaya kekayaan ekonomi perlu dinikmati dan dikongsikan secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Beliau percaya ramai rakyat di negeri ini bersetuju belanjawan itu bersifat komprehensif, progresif, inklusif dan berpandangan jauh yang menekankan pembangunan lestari.
"Bajet Sabah 2019, yang telah dirangka, menekankan pertumbuhan sektor-sektor produktif agar tahap pembangunan ekonomi dapat dipertingkatkan lagi ke arah menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan bagi rakyat dan juga kerajaan," katanya.
Mohd Shafie turut membidas cadangan belanjawan alternatif berjumlah RM16.6 bilion, yang dibentangkan oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Solidariti-Tambunan) ketika membahaskan belanjawan negeri, sebagai tidak praktikal dan "boleh membawa Sabah ke lembah kehancuran."
"Saya katakan demikian kerana sumber kewangan yang disebut dan disenaraikan oleh beliau itu belum lagi ada kepastian untuk kita dapat mengutipnya," katanya, sambil menambah cadangan Jeffrey itu hanya satu angan-angan.
Mohd Shafie berkata dalam memastikan kewangan negeri diuruskan dengan baik, kerajaan perlu menekankan perbelanjaan mengikut keupayaan mengutip hasil. -- BERNAMA