DUN Sabah: Lebih 15 ribu belia dapat kerja setakat November 2022 - Yakub Khan
Astro Awani
November 29, 2022 14:56 MYT
November 29, 2022 14:56 MYT
KOTA KINABALU: Seramai 15,554 belia di Sabah mendapat pekerjaan melalui pelbagai pprogram dan inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) setakat November tahun ini.
Menterinya, Datuk Yakkub Khan berkata, jumlah itu termasuk belia yang mendapat pekerjaan melalui program yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sabah.
Secara keseluruhan seramai 15,554 orang belia telah mendapat pekerjaan melalui pelbagai program dan inisiatif KSTI dan PERKESO sepanjang 2022," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.
Beliau menjawab soalan asal Dumi Pg Masdal (Silam-Warisan) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi.
Tambahnya, melalui KSTI beberapa inisiatif dilaksanakan bagi membantu lepasan sekolah dan belia mendapatkan kerja, antaranya melalui Sabah Talent Entrepreneurship Programme (STEP) di bawah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah.
Menurut beliau, tiga program STEP yang disertai oleh 60 orang lepasan sekolah dan belia Sabah telah dilaksanakan yang bertujuan melahirkan usahawan belia yang dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang baharu.
"Hal ini secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan belia terhadap pekerjaan sektor kerajaan dan swasta.
"Melalui program Pitchborneo (Program mencungkil usahawan berasaskan teknologi), pihak KSTI telah berjaya melahirkan seramai 1300 orang usahawan sehingga kini.
"Seramai 112 orang daripada usahawan tersebut turut menerima sumbangan untuk mengembangkan idea dan produk mereka (RM20,000 setiap syarikat)," katanya.