DUN Sabah: KBS belanja RM3 juta latih belia sertai program industri tempatan
Astro Awani
Disember 1, 2022 14:18 MYT
Disember 1, 2022 14:18 MYT
KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah membelanjakan RM3 juta setahun untuk melatih para belia bagi menyertai program pembangunan industri tempatan.
Pembantu Menterinya, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, langkah itu adalah usaha menangani isu pengangguran di Sabah.
"Antara kursus dan latihan yang menjadi pilihan beliauntuk menyertainya adalah seperti pembuatan produk minumandanmakanan, pertukangan, pertanian, jahitan, kecantikan, industri pembinaan, perhotelan dan pelancongan.
"Ramai dalam kalangan belia yang telah mengikuti kursus-kursus ini telah membuka perusahaan sendiri dan bekerja dalam industri pembinaan, perhotelan dan pelancongan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Jannie Lasimbang (DAP-Kepayan) yang ingin tahu status usaha dan jumlah peruntukan yang dibelanjakan bagi memudahkan penyertaan belia dalam pembangunan industri tempatan untuk menangani isu pengangguran.
Andi Suryady memaklumkan, KBS menggalakkan golongan belia supaya menceburi bidang perniagaan.
Sehubungan itu, katanya kebanyakan daripada kursus dan latihan yang dijalankan adalah menumpukan kepada kemahiran yang berasaskan kepada industri tempatan.
"Bagi memastikan supaya golongan belia dapat dibantu untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka, maka pada tahun ini pihak kerajaaan telah menyediakan Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) berjumlah RM10 juta.
"Ramai golongan belia telah memohon skim ini dan menerima bantuan tanpa membayar balik kepada kerajaan," katanya.