DUN Sabah: Kaji akta lindungi, bantu penduduk jadi mangsa haiwan liar

Bernama
November 28, 2022 04:20 MYT
Kerajaan negeri diminta mengkaji suatu bentuk perundangan bagi melindungi dan membantu penduduk daripada menjadi mangsa keganasan haiwan liar. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Kerajaan diminta mengkaji suatu bentuk perundangan bagi melindungi dan membantu penduduk daripada menjadi mangsa keganasan haiwan liar terutama gajah di negeri ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu pada Isnin.
Datuk Masiung Banah (Bebas-Kuamut) berkata ketika ini terdapat undang-undang bagi melindungi haiwan liar, mengakibatkan situasi menjadi sukar buat penduduk apabila haiwan liar yang dilindungi undang-undang itu seperti gajah, memusnahkan tanaman dan membahayakan nyawa penduduk.
"Banyak penduduk di kawasan saya mengalami kerugian besar apabila tanaman seperti padi dan kelapa sawit dimusnahkan kawanan gajah, malah ada yang sampai kehilangan nyawa semata-mata untuk melindungi tanaman masing-masing, yang penting untuk meneruskan kehidupan mereka.
"Namun mereka takut untuk membunuh gajah berkenaan kerana takut hukuman, jadi kerajaan perlu berbuat sesuatu mengenai perkara ini," katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada persidangan itu di sini pada Isnin.
Masiung berkata antara yang dicadangkan bagi akta itu adalah pemberian suatu bentuk pampasan oleh kerajaan seperti bantuan tanaman atau wang kepada penduduk yang menjadi mangsa haiwan liar.
Sementara itu Datuk Christina Liew (PKR-Api Api) ketika membahaskan belanjawan itu berkata dalam usaha memulihkan sektor pelancongan negeri, beliau menggesa kerajaan membangunkan lebih banyak destinasi pelancongan baharu untuk menarik pengunjung baharu dan berulang ke Sabah.
Sehubungan itu beliau mencadangkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menimbangkan cadangan Santuari Tenggiling Tawau sebagai tarikan pelancong hidupan liar yang baharu dalam kawasan Taman Bukit Tawau yang dilindungi.
Beliau berkata Memorandum Persefahaman mengenai penubuhan santuari itu ditandatangani antara Institut Penyelidikan dan Santuari Tenggiling Sabah-Arizona (SAPSARI Arizona), dan Jabatan Hidupan Liar Sabah pada bulan Jun 2019, dan menurutnya SAPSARI Arizona masih komited untuk melaksanakan projek itu.
Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya kemudian menangguhkan persidangan itu sehingga Selasa.
-- BERNAMA
#haiwan liar #DUN Sabah #masiung banah #gajah
;