DUN Sabah: Enakmen bekalan tenaga elektrik dibentang sebelum hujung tahun ini
Mirlen Axtius
Mei 24, 2023 14:11 MYT
Mei 24, 2023 14:11 MYT
KOTA KINABALU: Enakmen bekalan tenaga elektrik di Sabah akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum hujung tahun ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ketika ini setiap permohonan tenaga elektrik di Sabah akan merujuk kepada Suruhanjaya Tenaga Elektrik Persekutuan.
"Sekarang ini apabila kita luluskan setiap permohonan tenaga elektrik ini kita akan rujuk kepada Suruhanjaya Tenaga Elektrik di pusat.
"Jadi mereka yang meluluskan apa juga permohonan kita sehingga hari ini dan sehinggalah kita akan mengambil alih Suruhanjaya Tenaga Elektrik ini pada 1 Januari 2024.
"Barulah kerajaan negeri akan mempunyai kuasa untuk menentukan dasar, takrif dan juga kelulusan kepada permohonan-permohonan yang telah dipohon," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang-Warisan) yang bertanya mengenai enakmen selepas kuasa kawal selia bekalan elektrik diambil alih Sabah dari kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri melalui Energy Commission of Sabah (ECoS) berhasrat melaksanakan pembidaan bagi pembangunan projek-projek solar berskala besar.
"Kerajaan melalui ECoS berhasrat melaksanakan pembidaan bagi pembangunan projek-projek solar berskala besar sebanyak 100 MegaWatt secara berperingkat setelah mengambil kuasa kawal selia pembekalan elektrik kelak.
"Projek Solar Berskala Besar adalah berkonsepkan Independent Power Producer (IPP) di mana pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan IPP menandatangani perjanjian Power Purchase Agreement (PPA) untuk pembelian tenaga," jelasnya.
Nizam berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) yang bertanya mengenai insentif yang dan dasar yang diberikan kepada sektor tenaga khususnya tenaga solar.