DUN Sabah: CJN komoditi perikanan ditangguh buat kali kedua

Eleanor Michelle Patrick
Mac 24, 2022 13:23 MYT
Jasni Daya (kanan) menjelaskan tujuan CJN adalah untuk memastikan bekalan perikanan negeri kekal mampan berikutan aduan kurangnya ikan bernilai tinggi untuk penggunaan dalam negeri. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju untuk meluluskan penangguhan kali kedua Perintah Cukai Jualan Negeri (Kadar Cukai) 2021 bagi mengenakan Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas komoditi perikanan yang dibawa keluar dari negeri ini.
Pembantu Menteri Kewangan, Jasni Daya berkata, penangguhan itu dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2022.
Menurutnya, ia adalah tertakluk kepada pembayaran CJN bagi bulan Mei hingga Disember 2021.
"Pada bulan Januari 2022, Kerajaan Negeri melalui Notis Pengumuman Keempat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan telah memutuskan bahawa CJN ini akan mula dikutip dan justeru itu pembayaran CJN yang ditangguhkan bagi tempoh Mei hingga Disember 2021 juga perlu dibayar penuh oleh pihak syarikat terlibat sebelum penghujung bulan Januari 2022.
"Bagaimanapun, pada hari ini saya ingin memaklumkan dewan yang mulia ini bahawa Kerajaan Negeri telah bersetuju ke atas tempoh penangguhan pembayaran CJN bagi bulan Mei hingga Disember 2021 dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2022.
"Keputusan ini adalah muktamad dan perincian mengenai perkara ini akan diumumkan melalui notis pengumuman yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan kelak," katanya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Khamis.
Beliau menjawab soalan asal daripada Chong Chen Bin (Warisan-Tanjong Kapor) yang bertanya sekiranya pelaksanaan cukai eksport SST 5% telah disahkan dan adakah ia akan dikira cukai eksport dari bulan Mei 2021.
Tambah Jasni, tujuan pengenalan kutipan CJN adalah untuk memastikan bekalan perikanan negeri kekal mampan berikutan aduan kurangnya ikan bernilai tinggi untuk penggunaan dalam negeri selain meningkatkan hasil negeri berikutan perbelanjaan operasi dan pembangunan negeri yang meningkat dari tahun ke tahun.
#DUN Sabah #Kementerian Kewangan Sabah #Cukai Jualan Negeri CJN #Jasni Daya
;