DUN Sabah: Burung murai pun bercakap, sebaliknya kita fokus buat kerja - Masidi
Mirlen Axtius
Julai 19, 2022 11:28 MYT
Julai 19, 2022 11:28 MYT
KOTA KINABALU: Datuk Seri Masidi Manjun hari ini tampil memaklumkan bahawa kerajaan Sabah tidak berdiam diri dalam mempertahankan hak dan kedaulatan hasil bumi negeri itu termasuk minyak dan gas.
Menteri Kewangan Kedua Sabah itu berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri bersama Petronas selain melantik jawatankuasa khas untuk memastikan segala perjanjian yang dipersetujui ditunaikan.
Tanpa merujuk kepada mana-mana pemimpin, Masidi dalam nada tegas berkata, beliau lebih percaya kepada bekerja keras (hard work) dan memberikan keputusan terbaik berbanding mewar-warkannya.
"Dengan ini tuan speaker, saya percaya kepada kerja keras dan memberikan keputusan terbaik. Saya (atau) semua boleh bercakap, burung murai pun boleh bercakap tetapi tidak faham apa yang dia nyatakan.
"Kita memilih untuk tidak banyak bercakap kerana saya fikir pada akhirnya saya atau kerajaan negeri akan dihakimi melalui pencapaian kita dan bukan apa yang kita cakap atau kita keluarkan setiap hari," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan negeri untuk memanfaatkan khazanah minyak dan gas Sabah serta usaha untuk menyokong peluang pekerjaan berkemahiran untuk anak-anak tempatan.
Tambah Masidi, beliau terbuka untuk bertemu dengan sesiapa sahaja termasuk Ketua Pembangkang DUN Sabah untuk berbincang mengenai langkah diambil kerajaan negeri berkaitan minyak dan gas.
Tambah Masidi, kenyataan terbuka dan terlalu kritikal akan memberi impak kurang baik kepada persekitaran pelaburan di Sabah.
"Ertinya kita dalam usaha mempergiatkan bidang perniagaan. Kalau kita buat kenyataan yang berbentuk kritikal, kita memberikan mesej salah kepada para pelabur untuk melabur di Sabah," katanya.