DUN Sabah: Ammonia dan urea produk baharu dikenakan cukai mulai 1 Ogos ini

Mirlen Axtius
Julai 19, 2022 14:37 MYT
Masidi (gambar) berkata, dua produk itu ialah ammonia dan urea yang dianggarkan menyumbang sejumlah RM46 juta ke atas hasil negeri pada tahun ini.
KOTA KINABALU: Sabah memperluaskan sumber dan meningkatkan hasil negeri menerusi dua lagi produk petroleum yang akan dikenakan cukai jualan negeri mulai 1 Ogos 2022.
Menteri Kewangan Kedua Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dua produk itu ialah ammonia dan urea yang dianggarkan menyumbang sejumlah RM46 juta ke atas hasil negeri pada tahun ini.
"Sesungguhnya, kerajaan negeri sentiasa memastikan kutipan hasil negeri bukan sahaja kukuh tetapi juga dioptimumkan untuk menyumbang ke arah pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Oleh itu, Kerajaan memandang serius bukan sahaja ke atas pungutan cukai jualan produk petroleum tetapi juga ke atas semua jenis produk yang dikenakan cukai jualan negeri.
"Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menerusi semua hak perlembagaan dan perundangan untuk mendapatkan semula Cukai Jualan Negeri yang terhutang dan tertunggak, jika ada, demi untuk menjaga kedaulatan negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) yang ingin tahu tentang apa tindakan diambil bagi menuntut cukai jualan negeri dalam sektor minyak dan gas serta berapakah jumlah cukai jualan yang dianggarkan diterima oleh kerajaan.
Selain itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, kerajaan negeri mengutip RM808 juta cukai jualan produk petroleum untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menurutnya, hasil cukai jualan produk petroleum dianggarkan berjumlah RM1.1 bilion tahun ini dan angka yang telah dikutip adalah 73 peratus daripada anggaran berkenaan.
"Jumlah keseluruhan pungutan cukai jualan produk petroleum sejak ia dilaksanakan pada 1 April, 2020 sehingga 30 Jun, 2022 sebanyak RM2.458 bilion," katanya.
#DUN Sabah #ammonia #urea #produk petroleum
;