DUN Pulau Pinang lulus usul tergempar kutuk kezaliman terhadap Rohingya
Bernama
November 25, 2016 13:42 MYT
November 25, 2016 13:42 MYT
Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang malam Khamis sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk kezaliman rejim tentera Myanmar terhadap golongan minoriti Islam Rohingya di negara itu.
Usul yang dibawa oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Rashid Hasnon itu telah mendapat sokongan Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy.
Dalam usul tersebut, Rashid berkata masyarakat Rohingya dibunuh tanpa belas kasihan dan lebih 3,500 buah rumah penduduk itu dibakar di beberapa lokasi di wilayah negara itu.
Beliau turut menggesa kerajaan pusat supaya bertindak segera bagi menghentikan tragedi yang meragut banyak nyawa yang tidak berdosa.
"Wanita dan kanak-kanak dibunuh dan dirogol. Tindakan tidak berperikemanusiaan dan zalim ini, kami mengutuk atas nama kemanusiaan," katanya. - BERNAMA