DUN Perak: Dewan persidangan berwajah baharu selepas 25 tahun
Aida Aziz
Mei 18, 2023 13:11 MYT
Mei 18, 2023 13:11 MYT
IPOH: Mesyuarat Ketiga Tahun Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 yang bermula Isnin depan bakal berwajah baharu dengan pengubahsuaian membabitkan ruang dalaman Dewan Negeri.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, penaiktarafan meja dan kerusi Ahli DUN (ADUN) itu melibatkan anggaran kos sebanyak RM1 juta.
"Terdapat beberapa penambahbaikan dibuat sebelum ini, seperti naik taraf sistem audio dan visual, serta karpet di dalam Dewan Negeri.
"Penambahbaikan ini dapat memberikan keselesaan dan suasana yang lebih segar, seiring dengan iltizam memartabatkan Dewan Negeri sebagai institusi legislatif tertinggi negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Mohamad Zahir berkata, kali terakhir pengubahsuaian Dewan Negeri itu dibuat adalah pada 25 tahun lalu, dan kini keadaan kebanyakan meja dan kerusi sudah tidak lagi sesuai digunakan.
"Mungkin ada yang lihat, lawa saja kerusi dan meja, tetapi ada yang sudah reput. Sebab, sudah 25 tahun.
Tambahan pula ia diperbuat daripada kayu.
"Kita memang buat permohonan untuk naik taraf ini melalui Jabatan Kerja Raya (JKR). Kerja-kerja naik taraf itu bermula pada Februari dan sudah siap pada bulan ini," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Zahir berkata sidang DUN akan berlangsung empat hari bermula 22 Mei (Isnin) hingga 25 Mei (Khamis).
Katanya, terdapat dua Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibawa oleh pihak kerajaan pada sidang kali ini iaitu Enakmen Hotel Perak 2023 yang akan dibawa oleh Sandrea Ng Shy Ching dan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 yang akan dibawa oleh Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Jelasnya, seramai 46 orang ADUN akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan dua RUU berkenaan.
Selain itu, terdapat dua usul yang akan dibawa Menteri Besar, iaitu Usul Meminda Perkara 38, Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan serta Usul Pemilihan Ahli Dewan Negara.