DUN P. Pinang sebulat suara lulus usul nyatakan solidariti untuk Palestin
Bernama
November 24, 2023 11:19 MYT
November 24, 2023 11:19 MYT
GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini sebulat suara meluluskan usul menyatakan solidariti untuk rakyat Palestin atas kekejaman dan kezaliman zionis Israel.
Usul yang dikemukakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dipersetujui sebulat suara tanpa bahas.
''Saya tidak bercadang untuk menambah lebih banyak memandangkan ucapan perasmian sidang DUN oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah mewakili pendirian tegas kerajaan negeri yang prihatin terhadap isu Palestin.
''Saya menyeru dewan yang mulia untuk menunjukkan soladariti terhadap Palestin dan saya meneruskan usul ini tanpa perlu bahas,'' katanya dalam sidang DUN Pulau Pinang, hari ini.
Pada 17 Nov lepas, ketika berucap merasmikan sidang DUN Pulau Pinang, Ahmad Fuzi menggesa agar semua tindakan keganasan, pembunuhan dan kezaliman yang berlaku ke atas penduduk Palestin ditamatkan dengan segera.
Ahmad Fuzi berkata, konflik dan peperangan yang masih berterusan telah mengakibatkan penderitaan yang besar kapada rakyat Palestin dengan orang awam khususnya golongan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terbunuh serta ramai yang kehilangan nyawa dan rumah kediaman mereka. - BERNAMA