DUN Negeri Sembilan terbubar Khamis

Astro Awani
Mac 25, 2013 22:06 MYT
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan terbubar secara automatik pada 28 Mac iaitu Khamis ini, jelas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata mandat DUN tersebut akan berakhir pada hari Rabu dan bubar pada hari keesokannya.
Abdul Aziz memberitahu Astro Awani semua Ahli DUN akan tamat perkhidmatan dengan sendiri tetapi jawatan menteri besar, speaker dan ahli exco masih bertugas.
"Speaker akan menulis surat kepada SPR untuk menyatakan dengan rasmi bahawa DUN Negeri Sembilan telah terbubar," kata Abdul Aziz, yang turut berkata tarikh pilihan raya yang akan ditetapkan adalah selewat-lewatnya 27 Mei.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini memperjelaskan kekeliruan membabitkan pembubaran DUN.
Mohamad berkata perjalanan DUN yang menurut Fasal 56 (3) Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan, menyatakan DUN berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat yang pertama kecuali dibubarkan terlebih dahulu.
"Masalahnya ialah bagaimana untuk menentukan tempoh lima tahun itu bermula atau telah tamat. Jadi dalam hal ini kita guna Akta Interpretasi 1948 dan 1967 (Akta 388)".
Beliau berkata pengiraan waktu itu dibuat mengikut Seksyen 54 (1) akta itu.
"Ini bermakna bila kita mengira waktu atau tarikh bermulanya bila, dalam akta ini hari kejadian itu tidak dikira sebagai hari bermula sebaliknya hari esoknya," katanya dalam sidang media di kediamannya di Seremban hari ini.
Katanya, jadi dalam hal pembubaran DUN secara automatik ini, hari kejadian atau hari wakil rakyat mengangkat sumpah iaitu pada 27 Mac 2008 tidak dikira sebagai hari pertama DUN berjalan sebaliknya keesokan harinya iaitu pada 28 Mac 2008.
"Jadi dengan itu umur DUN kita akan sampai pada 27 Mac 2013 pada 12 tengah malamnya, genaplah lima tahun dan akan terbubar pada Khamis iaitu 28 Mac 2013 dan kerajaan sementara akan tertubuh.
"Jadi jika Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mahu membubarkan DUN berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah Fasal 56(2) maka tarikh akhirnya adalah 27 Mac ini," jelasnya.
Juga baca: Pakar: Perlu ada undang-undang untuk kerajaan sementara
#abdul aziz yusof #DUN #Negeri Sembilan #pilihan raya #SPR
;