DUN Negeri Sembilan lulus usul khas kecam pembunuhan Ismail Haniyeh

Bernama
Ogos 5, 2024 22:39 MYT
Aminuddin memohon ADUN sepakat menyatakan ketegasan mengenai pendirian kerajaan negeri kepada seluruh dunia bagi mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Israel. - Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini sebulat suara meluluskan usul khas mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh pada 31 Julai lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika membentangkan usul itu memohon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepakat menyatakan ketegasan mengenai pendirian kerajaan negeri kepada seluruh dunia bagi mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Israel.
"Dalam dewan mulia ini, kita sama-sama dengan satu tekad, satu matlamat dan satu suara tanpa dikekang batas agama, bangsa mahupun haluan politik untuk mengangkat satu isu penting yang bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia bahkan majoriti warga antarabangsa.
"Sebelum tercetus serangan rejim Israel secara besar-besaran ke atas bumi Palestin pada 7 Okt tahun lepas, Perdana Menteri menyuarakan lima kali isu Palestin di pentas antarabangsa bagi menarik perhatian dunia kepada isu yang tidak pernah selesai sejak 75 tahun lepas.
"Penegasan oleh Malaysia di pentas antarabangsa hasil kerja jahat Zionis yang tidak henti-henti menindas rakyat Palestin sehingga mengakibatkan ratusan ribu nyawa yang tidak bersalah terkorban dan dipenjara tanda pengadilan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri mengambil beberapa ketetapan termasuk Israel perlu bertanggungjawab ke atas serangan kepada Haniyeh dengan kejadian berkenaan membuktikan mereka sentiasa merancang secara agresif dan menyasarkan pemimpin Hamas.
Aminuddin berkata pembunuhan Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri Palestin itu tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Serangan secara terancang yang berlaku di luar kawasan pergolakan boleh mencetuskan 'regional war' sehingga boleh membangkitkan peperangan lebih besar melibatkan negara yang tidak terlibat dengan konflik itu.
Aminuddin berkata DUN turut menzahirkan solidariti bersama rakyat Palestin dan merakamkan rasa kecewa tidak terhingga dengan tindakan Majlis Keselamatan PBB yang begitu lemah terhadap serangan ganas rejim Zionis terhadap Gaza dan Rafah sejak 7 Okt lepas.
"Kita juga memutuskan kerajaan Malaysia bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza," katanya.
Exco Kanan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika membahas usul itu mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk mendirikan Hospital Medan di wilayah yang bersempadan dengan Palestin seperti Mesir ataupun Jordan sebagai langkah tambahan menyokong sistem kesihatan Palestin.
"Ketika ini antara yang sudah mendirikan Hospital Medan ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC)," katanya.
Pembunuhan Haniyeh tamparan cukup besar kepada dunia Islam dan ia berlaku di Iran yang juga antara kuasa besar negara Islam sekali gus menunjukkan cabaran terbuka kepada masyarakat Islam seluruh dunia.
Beliau turut mencadangkan kerajaan memasukkan sedikit pengisian terhadap perjuangan Palestin dalam semua program kemerdekaan yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Kebangsaan sekali gus sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia yang tidak berbelah bahagi.
Sementara itu, berlaku sedikit kekecohon ketika persidangan DUN berlangsung apabila Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) menyuarakan pendirian tidak bersetuju persidangan dewan kali ini hanya berlangsung sehari sahaja dengan menyatakan keputusan berkenaan 'di luar tabii'.
Beliau berkata sebagai wakil rakyat, pihak kerajaan negeri perlu memberikan jawapan lisan berbanding memberikan jawapan bertulis.
"Saya nampak kalau ikut peraturan ini, satu perkara penting setelah habis pertanyaan itu dijawab ... ini luar tabii dalam dewan, tidak sampai sehari, persidangan ditangguhkan," katanya.
Aminuddin menjelaskan persidangan dewan berlangsung mengikut peraturan ditetapkan dan tidak semestinya dijalankan tiga hari seperti dilakukan di negeri lain.
"Saya berharap ADUN pembangkang dapat belajar, walaupun ditetapkan tiga hari tidak semestinya berlangsung tiga hari, soalan hari pertama sudah dijawab secara lisan dan jawapan bertulis diberikan, soalan hari kedua dan ketiga kita akan berikan secara bertulis.
"Saya harap ADUN pembangkang belajar dengan ADUN pembangkang di negeri lain, ini berlaku di Kelantan, Kedah dan Perlis, ini bukan luar tabii ... guna bahasa yang elok, perkataan yang elok lebih baik," katanya.
Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #rejim Zionis #Ismail Haniyeh #Hamas
;