DUN Kelantan luluskan kenaikan gaji ADUN, Exco

Muhafandi Muhamad
November 9, 2020 19:56 MYT
Pembentangan dibuat oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan disokong oleh Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kesemua barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Kelantan termasuk Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bakal memperolehi pembayaran kenaikan gaji pokok.
Ia selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini, dengan sebulat suara meluluskan rang undang-undang untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Negeri 1980.
Enakmen (Saraan) Anggota Anggota Pentadbiran dan Ahli Ahli Dewan Negeri 1980 (pindaan 2020) dalam empat fasa itu turut membabitkan penyelarasan dan kenaikan saraan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, Speakerd dan Timbalan Speaker.
Pembentangan dibuat oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan disokong oleh Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau juga ada menyebut penyelarasan itu bermula Januari tahun ini.
Ini bermakna, Ahli Mesyuarat Kerajaan dan Adun bakal memperolehi kenaikan gaji sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan (exco) Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar serta kenaikan gaji sebagai ADUN dengan dibayar bermula Januari hingga Oktober ini.
Difahamkan ADUN dan Exco kerajaan negeri Kelantan bakal menerima kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.
Mohd Amar menjelaskan, pindaan ini dikemukakan berikutan faktor masa kini yang mencabar kepada anggota-anggota pentadbiran dan ahli-ahli Dewan Negeri.
Katanya, Rang Undang-undang ini juga sebagai satu penyelarasan elaun antara anggota-anggota pentadbiran dan ahli-ahli Dewan Negeri dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Tambahnya, tugas anggota pentadbiran dan ahli-ahli Dewan Negeri bertambah berat terutamanya dalam negara yang berhadapan dengan suasana pandemik COVID-19.
Sementara itu, kerajaan negeri turut bersetuju memberi bantuan kewangan khas kepada penjawat awam dan lantikan politik di negeri ini.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob semasa membuat penggulungan pada Persidangan DUN Kelantan (Belanjawan) di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.
Menurutnya, kakitangan awam seramai 6,854 akan menerima RM600 manakala lantikan politik pula sebanyak RM300 melibatkan penghulu, kakitangan pegawai halaqah, guru Al-Quran dan fardu ain, guru pondok dan sebagainya.
#ADUN Kelantan #Exco Kelantan #naik gaji #Ahli Dewan Undangan Negeri #Mohd Amar Nik Abdullah #lantikan politik #kenaikan gaji #DUN #Belanjawan #COVID-19
;