DUN Johor tegang gara-gara pantun

Bernama
November 29, 2017 14:08 MYT
Ketegangan bermula apabila wakil rakyat itu menggunakan ayat 'Anak Cina Memasang Lukah' untuk baris pertama pantunnya dalam sesi perbahasan beliau. - Gambar fail/BERNAMA
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini menjadi tegang seketika apabila Anggota DUN Bukit Permai Ali Mazat Salleh dituduh mengeluarkan ayat berbaur perkauman pada sesi perbahasan Bajet Johor 2018.
Ketegangan bermula apabila wakil rakyat itu menggunakan ayat 'Anak Cina Memasang Lukah' untuk baris pertama pantunnya dalam sesi perbahasan beliau.
Ia mengundang kemarahan Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nenas) yang bingkas bangun mendesak Speaker Dewan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz mengarahkan Ali Mazat keluar dari dewan.
"Teruk betul Bukit Permai, tolong halau keluar daripada Dewan, cakap macam perkauman," kata Yeo.
Selain Yeo, turut melahirkan ketidakpuasan hati Tan Hong Ping (DAP-Mengkibol) dan Gan Peck Cheng (DAP-Penggaram).
Hong Ping dalam tegurannya berkata penggunaan ayat itu tidak sesekali mencerminkan konsep Bangsa Johor yang digagaskan kerajaan negeri.
"Jangan pakai kaum Cina, kita semua Bangsa Johor," katanya.
Bagaimanapun Mohammad meminta agar semua wakil pembangkang bertenang dan memohon Ali Mazat meneruskan perbahasannya.
Ali Mazat kemudiannya meneruskan ucapan perbahasan bajet itu dengan menukar ayat 'Anak Cina' tersebut kepada 'Anak Ali' yang akhirnya mendapat reaksi positif daripada pembangkang.
"Ini lebih betul," kata Hong Ping.
-- BERNAMA
#Ali Mazat Salleh #anak cina #Bajet Johor 2018 #berbaur perkauman #Bukit Permai #DUN Johor #Gan Peck Cheng #Pantun #Tan Hong Ping #Yeo Tung Siong
;