DUN Johor kekal status quo
Hakim Rahman
Mei 14, 2020 14:54 MYT
Mei 14, 2020 14:54 MYT
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berakhir tanpa perubahan dengan parti pemerintah dan pembangkang kekal disebalik spekulasi kemungkinan tercetus perbalahan antara parti pemerintah negeri yang baharu, Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH).
PN sebelum ini dikatakan akan menukar Speaker DUN, Suhaizan Kaiat, sementara PH pula dikatakan akan melancarkan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Bagaimanapun perkara itu tidak berlaku selepas Sultan Johor menitahkan untuk tidak menyebarkan virus perpecahan dengan berpolitik.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata beliau akan memastikan semua ADUN sama ada kerajaan atau pembangkang patuh dengan titah Tuanku.
"Saya percaya dan yakin bahawa wakil-wakil rakyat kerajaan mahu pun pembangkang akan terus berpegang kepada cara Johor yang akan mengelak daripada berkonfrontasi dan juga bersengketa sebagai budaya dan cara kita berada di dalam Dewan," katanya.
Sidang DUN Johor menjadi tumpuan selepas sidang DUN di Perak dan Melaka kecoh dengan tindakan penggantian Speaker.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan PN menguasai 29 kerusi manakala PH pula 27 kerusi.