Dulu terbiar kini terkenal, tali air Mak Mayong tarik ratusan pemancing setiap Jumaat
Bernama
Ogos 28, 2023 14:08 MYT
Ogos 28, 2023 14:08 MYT
KOTA BHARU: Kira-kira setahun yang lepas, kawasan tali air sepanjang lebih 100 meter di Mak Mayong, Kampung Kolam di sini, hanya dipenuhi semak samun.
Namun, tiga sahabat iaitu Azhar Taib, 50, Muhammmad Azmi Abdul Ghani, 42, dan Allahyarham Rusli Hamat, 55, (meninggal dunia awal 2023) mengambil inisiatif membersihkan tali air berkenaan.
Setahun berlalu, daripada kawasan sunyi tanpa sebarang aktiviti, Mak Mayong kini semakin sohor menjadi sebutan ramai, malah diserbu ratusan kaki pancing berikutan penganjuran cabaran memancing pada setiap Jumaat yang menawarkan hadiah lumayan RM10,000 kepada johan pertandingan.
Bercakap kepada Bernama, Azhar berkata pada awalnya niat mereka bertiga hanya untuk membersihkan kawasan itu, namun melihat kepada potensi mereka mengambil keputusan untuk menganjurkan pertandingan memancing.
"Bila dah dibersihkan kita masukkan ikan keli ke dalam tali air ini dan mulakan dengan buka pertandingan kepada penduduk di sekitar kawasan ini dengan yuran penyertaan RM15, johan menerima wang tunai RM1,000.
"Namun, sambutan yang diterima sangat menggalakkan, kini pada setiap Jumaat kira-kira 500 hingga 600 peserta akan memenuhi tali air sepanjang 100 meter ini. Bukan sahaja datang dari Kelantan, tetapi juga dari Terengganu, malah ada yang datang jauh dari Johor," katanya.
Menurut Muhammmad Azmi, nama tali air Mak Mayong terus menjadi bualan ramai kaki pancing menyaksikan penyertaan yang diterima pernah mencecah 900 orang pada satu hari pertandingan yang diadakan tahun lepas.
"Berikutan sambutan baik yang diterima, hadiah johan pertandingan dinaikkan beberapa kali kepada RM2,000, RM5,000 dan terkini pemenang akan memperoleh wang tunai RM10,000.
"Selain itu, naib johan menerima wang tunai RM1,000, ketiga (RM400), keempat dan kelima (RM200) manakala tempat keenam hingga ke-70 (RM100)," katanya sambil menambah hadiah johan pertandingan pernah mencecah RM17,000.
Langkah tiga sahabat itu bukan sahaja berjaya memperkenalkan tali air Mak Mayong, malah turut membuka peluang perniagaan kepada penduduk sekitar.
"Pada hari pertandingan ada penduduk yang datang menjual seperti air minuman dan jeli kelapa, ini secara tidak langsung membantu mereka mencari sumber pendapatan sampingan," kata Muhammmad Azmi.
Bagi Muhafa Daud, 53, beliau sanggup datang dari Kuala Krai untuk turut sama merasai pengalaman memancing di tali air berkenaan.
"Saya memang minat memancing, saya dengar tentang pertandingan di sini menerusi media sosial. Di Kuala Krai saya memancing di kolam buatan jadi pengalaman di sini berbeza sebab dilakukan di kawasan terbuka," katanya.
-- BERNAMA