Dulu hidup bergelumang dosa, kini mengejar pahala
Astro Awani
Jun 28, 2016 18:28 MYT
Jun 28, 2016 18:28 MYT
Ini realitinya, dahulu kehidupan mereka bergelumang dosa.
Namun, kini sekumpulan lelaki lembut di bandar raya ini mula menginsafkan diri dan tekun beribadah kepada Allah.
Tibanya Ramadan bagaikan memberi sinar buat golongan ini untuk mencari keredaan Allah dan bertaubat kepadaNya.
Tinjauan di Pusat Insaf Pahang (PIP) di sini mendapati golongan ini cukup bersemangat menunaikan rukun Islam yang keempat.
Jika dahulu golongan mak nyah ini banyak menghabiskan masa mereka di lorong-lorong gelap walaupun di bulan Ramadan, kini mereka bersyukur Ramadan kali ini mereka beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah.
Beliau mengakui berasa bersyukur kerana diberi kesempatan untuk kembali ke jalan yang diredhai Allah.
“Saya sungguh bersyukur kepada rakan-rakan, kawan-kawan bersama ustaz-ustaz daripada Jabatan Agama Islam dan juga ustaz daripada persendirian dan juga daripada doktor-doktor Universiti Islam Antarabangsa yang sentiasa memberi semangat sokongan kepada kami. Bukan saya sahaja tetapi kepada golongan mak nyah seperti saya ini untuk mencari keluar daripada lorong untuk mencari rezeki yang halal dan cuba mendekati diri kepada Allah S.W.T. sebaik mungkin," kata Mohamed Bakri.
Rakan Mohamed Bakri yang dikenali dengan panggilan Fiza mengakui bukan mudah untuk berubah. Pergaulan sosial perlu dipantau, takut jika terlanjur lagi seperti suatu ketika dahulu.
Fiza atau nama sebenarnya, Zulkifli Mazlan mengakui kebelakangan ini beliau banyak menghabiskan masa di rumah jika tidak bekerja. Selepas mendapat pekerjaan di sebuah kedai makan sebagai pencuci pinggan, beliau kini mengamalkan hidup bersederhana.
"Jangan salah pilih kawan, saya sekarang kurang kawan. Saya banyak duduk dekat rumah. sekarang saya kerja dekat kedai makan jer. dulu saya kerja malam sekarang saya kerja kedai makan, basuh pinggan gaji RM600 jer sebulan.
"Tapi dengan RM10 tu saya cukup makan. Saya dulu RM50 tak cukup, RM50 tak cukup sekarang, RM10 jer makan cukup, Alhamdulillah," katanya.
Kumpulan ini tidak bersendirian mendirikan ibadah tarawih.
Mereka dibimbing oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) setiap kali melakukan ibadah. Kebiasaannya, selepas menunaikan solat sunat Tarawih, mereka akan diberikan tazkirah oleh ustaz dari jabatan agama.
“Pihak JAIP mengorak langkah dengan lebih serius untuk menyantuni dan juga membimbing pihak pihak maknyah khususnya yang berada di kuantan untuk membimbing mereka kearah mendekatkan diri kepada agama yang mana sebagaimana yang kita tahu golongan mak nyah di Kuantan ini memang agaj cetek pengetahuan agama dan di situ pihak JAIP mengambil tanggungjawab untuk membimbing mereka ini untuk lebih dekat dengan agama," kata Nasharuddin Ngah
Ini pula nasihat Mohamed Bakri buat golongan lelaki lembut yang ingin kembali ke fitrah:
"Saya berharap kepada kawan-kawan di sana tu masih ada di tempat-tempat gelap tu harap kita carilah perubahan. Insyaallah, kita jangan sombong dengan Allah, kita sepatutnya sentiasa berdoa apa lagi di bulan puasa.
"Allah banyak membantu buka ruang untuk kita sebagai hambanya walaupun kita melakukan dosa sebanyak banyak dosa pun sebesar lautan dosa pun Allah mungkin ampun," katanya.