Dulu belajar melalui YouTube, kini tempahan pisau masuk istana
Sinar Harian
Mei 28, 2023 14:50 MYT
Mei 28, 2023 14:50 MYT
PASIR MAS: Kemalangan motosikal yang menimpa Ahmad Faizzon Mamat, 40, sedekad lalu telah mengubah hidup bekas jurutera itu apabila dia hilang upaya untuk bekerja selepas semua jari kaki kirinya terpaksa dipotong.
Keadaan tersebut turut menyebabkan kaki kiri bapa kepada dua anak itu menjadi pendek, sekali gus kedudukannya tidak seimbang dan memaksanya bergantung penuh kepada tongkat dalam memudahkan urusan harian.
Situasi getir kehilangan upaya dihadapi Ahmad Faizzon itu menyebabkan beliau menganggur selama setahun kerana buntu mencari sumber pendapatan keluarga.
Menyedari kantung kewangan semakin menipis, Ahmad Faizzon mengambil risiko dengan menjadi 'pandai besi' bagi meneruskan kelangsungan hidup.
"Sepanjang tempoh itu saya melayari internet dan terjumpa video membuat pisau di YouTube.
"Dari situ saya mula mempelajarinya dengan melihat teknik yang ditunjukkan di dalam video.
"Alhamdulillah, ia tidak sesukar yang difikirkan, malah pekerjaan itu sesuai dengan keadaan saya sekarang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kasar di sini.
Ujar Ahmad Faizzon, beliau mula membuat pisau jenis moden berserta sarung kulit yang dijual secara dalam talian dan dikenali dengan gelaran Melewood.
Tambah beliau, pada awalnya pisau yang dihasilkan sukar dipasarkan kerana ramai yang tidak mengenali serta sangsi dengan kepakaran yang dimilikinya, namun selepas enam bulan, tempahan demi tempahan mula diterima terutama apabila menjelang Aidiladha.
"Mulai tahun 2015, apabila selepas Syawal, tempahan pisau mulai diterima dari seluruh negara terutama Johor, Pulau Pinang dan Selangor.
"Pelanggan dari Singapura dan Brunei juga ada. Paling istimewa saya juga menerima tempahan dari Istana Kelantan," katanya.
Menurutnya, pisau moden yang ditempah dijual dengan harga sekitar RM100 sehingga mencecah RM2,500 mengikut reka bentuk yang diminta oleh pelanggan.
Ahmad Faizzon memberitahu, sebilah pisau mengambil masa tiga hingga tujuh hari untuk disiapkan bergantung kepada jenis bahan dan corak yang dimahukan.
Ujarnya, kelebihan pisau yang dibuat ialah tahan lasak dan sesuai untuk kerja berat serta reka bentuk unik mengikut selera pelanggan. - Sinar Harian