Dulu Batang Tonggang, kini Kampar, abadikan tinggalan sejarah di laman sekolah

Aida Aziz
Oktober 11, 2022 03:20 MYT
Papan informasi diletakkan di laman SMK Kampar. - Foto ihsan Nor Hisham Zulkiflee
KAMPAR: Pernah dikenali sebagai Batang Tonggang kemudian Mambang di Awan dan kini kekal sebagai Kampar, banyak kisah boleh disingkap di sini, khususnya Pertempuran Kampar yang berlaku pada tahun 1941.
Bagi mereka yang belum tahu, nama Kampar itu sendiri diambil daripada kedatangan orang Kampar Luar dari Sumatera, Indonesia ke kawasan tersebut suatu ketika dahulu.
Justeru itu, tidak menghairankan jika diamati di carian internet, wujud tempat dengan nama yang sama iaitu Kampar di Riau, Indonesia.
Timbalan Presiden Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya, Nor Hisham Zulkiflee berkata, sehingga kini banyak lokasi di sekitar Kampar yang merupakan sebahagian daripada lokasi bersejarah sewaktu kemaraan Jepun ke Tanah Melayu.
Nor Hisham berkata, menurut penceritaan secara lisan dan kajian, dikatakan tapak SMK Kampar yang dibina pada tahun 1965 itu merupakan lokasi pembukaan bandar dan daerah Kampar.
Selain itu katanya, tapak sekolah tersebut juga merupakan sebahagian daripada lokasi Pertempuran Kampar pada 30 Disember 1941.
Justeru itu, baru-baru ini pihaknya mengambil inisiatif mendirikan papan informasi 'Battle of Kampar' dan Garis Masa Kampar di Laman Sejarah sekolah terbabit.
"Di tapak sekolah itu dahulu dikatakan terdapat penempatan orang Kampar Luar, mereka sudah datang berdagang sejak abad ke-19 ke daerah ini dan sekitarnya.
"Mereka menyeberangi Selat Melaka dengan jong (kapal) dan masuk ikut Teluk Intan, Kuala Kampar dan sampai ke Kuala Dipang, mereka bertukar-tukar barang (sistem barter) dengan penduduk tempatan.
"Barang yang mereka bawa seperti tembikar, besi dan ia ditukar dengan penduduk tempatan yang ketika itu menjalankan aktiviti perlombongan secara kecil-kecilan.
"Kebiasaannya mereka akan pulang semula (ke Sumatera) tetapi lama kelamaan ada yang berkahwin dengan penduduk tempatan, sehinggalah ramai yang menetap di sini dan dinamakan Batang Tonggang," katanya.
Ujar aktivis sejarah itu lagi, Batang Tonggang bermaksud atau merujuk kepada bentuk muka bumi di situ yang berbukit.
"Dikatakan Kampar dulunya dikenali sebagai Batang Tonggang, kemudian Mambang di Awan dan akhirnya Kampar.
"Kenapa nama Mambang di Awan pula, dahulunya diceritakan kononnya ada pekerja lombong yang melihat 'penampakan' mambang atau lembaga di balik awan dekat Gunung Bujang Melaka," katanya.
Mengulas lanjut berhubung usaha pihak persatuan dengan kerjasama sekolah tersebut untuk mengabadikan papan informasi tersebut, katanya ia bagi memberi nilai tambah kepada sudut pengetahuan.
"Kawasan tapak sekolah ini menjadi sejarah kepada pertempuran sengit sewaktu hari-hari terakhir Pertempuran Kampar pada 30 Disember 1941 hingga 2 Januari 1942.
"Ketika itu tentera Jepun menyerang dari arah barat Kampar, mereka dapat menembusi kawasan sekitar tapak sekolah itu.
"Sebab dulunya di tepi sekolah itu adalah bukit yang menempatkan Kompeni C Batalion British.
"Sebenarnya keputusan untuk meletakkan papan informasi ini di sini ada hubung kait juga dengan isu kekangan dan perlu menanggalkan papan tanda di Green Ridge.
"Kami akur dengan kehendak pemilik tanah di sana dan akhirnya hari ini sebulat suara bersetuju untuk abadikan papan itu di sini, lebih sesuai dan tepat untuk pendidikan," katanya lagi.
Sementara itu, ketika ditanya mengapa pihaknya sering memperagakan uniform tentera British, Jepun dan sebagainya ketika menganjurkan program tertentu, beliau berkata ia bertujuan untuk memberi asas pengetahuan.
Ia susulan ada sesetengah pihak yang kurang bersetuju dan memberi kritikan bahawa ia kurang sesuai, seolah-olah membawa imej tentera penjajah.
"Seperti yang selalu saya terangkan kepada umum di media sosial misalnya, bukanlah niat kita untuk menyanjung penjajah atau pihak lawan.
"Kalau di luar negara konsep ini dinamakan 'living history' yang mana kita memperaga pakaian lama seperti busana dan sebagainya.
"Ia mengikut tempoh masa sejarah yang ada di negara ini, ada masa kita berpakaian tentera kolonial, askar Melayu dan lain-lain mengikut kesesuaian.
"Supaya masyarakat kenal itu uniform tentera dari negara mana dan jenisnya, kita mahu mendidik dan tahu membezakannya. Selain itu, kita juga ada bantu produksi filem dan dokumentari daripada segi pakaian itu, supaya tidak silap," katanya.
#Kampar #tinggalan sejarah #Nor Hisham Zullkiflee #SMK Kampar