Duit Yayasan Akalbudi bayar cukai jalan, insurans 20 kenderaan milik Ahmad Zahid

Bernama
Disember 9, 2019 16:45 MYT
Mahkamah diberitahu, cukai jalan dan insurans bagi 20 kenderaan milik Ahmad Zahid Hamidi berjumlah RM107,509.55 dibayar menggunakan dana Yayasan Akalbudi. - Gambar fail
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa cukai jalan dan insurans bagi 20 kenderaan milik bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjumlah RM107,509.55 dibayar menggunakan dana Yayasan Akalbudi, antara Januari dan September 2015.
Ejen Insurans syarikat Allianz General Insurance, Ahmad Izhan Abd Rashid, 40, berkata pembayaran itu diterima menerusi tiga keping cek Affin Bank milik Yayasan Akalbudi daripada pembantu peribadi Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan.
Saksi pendakwaan ke-14 itu menjelaskan, ketiga-tiga cek yang diterima adalah cek bertarikh 22 Januari 2015 bernilai RM24,980.55; cek bertarikh 15 April 2015 berjumlah RM43,645; dan cek bertarikh 22 September 2015 bernilai RM38,884.
“Cek ditulis atas nama saya kerana selepas saya mendepositkan cek tersebut saya akan mengeluarkan sejumlah wang bagi tujuan pembayaran cukai jalan kenderaan kerana pembayaran ini akan dibuat secara tunai kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Saya akan mengeluarkan sejumlah wang yang lain untuk dimasukkan ke dalam akaun semasa milik syarikat Maya Consultant Services (syarikat milik Ahmad Izhan) bagi tujuan pembayaran premium insurans kenderaan,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt.
Saksi itu berkata demikian pada hari kesembilan perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.
Ahmad Izhan yang menjadi ejen insurans bagi Allianz General Insurance sejak 2006 berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengambil 39 polisi insurans kenderaan dengannya bagi 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah, antaranya jenis BMW X5, Mini Coopers S, BMW 320i (A), Mercedes Benz CLS350 dan motosikal BMW R1200 GS.
BACA: Zahid bayar RM72,000 bagi 39 polisi insurans 20 kenderaan mewah pada 2015
Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-13, Pengurus Allianz General Insurance cawangan Wisma Allianz, Jalan Gereja, Kuala Lumpur, Fang Suat Lim memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid mengambil empat jenis polisi insurans iaitu ‘private car policy’, ‘motorcycle policy’, ‘enhanced road warrior policy’ dan ‘bike warrior policy’.
Fang juga berkata, penama bagi empat polisi insurans kenderaan tersebut adalah Ahmad Zahid, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis serta tiga anak mereka, Nurulizwani, Datuk Nurulhidayah dan Ahmad Syafiq Hazieq.
Menurut Ahmad Izhan, setiap kali selepas memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan kenderaan, beliau akan ke rumah Ahmad Zahid di Country Heights, Kajang bagi menyerahkan semula polisi insurans serta cukai jalan kenderaan yang telah diperbaharui.
Ketika disoal balas peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid, Ahmad Izhan bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa dakwat untuk menandatangani ketiga-tiga cek dan dakwat untuk menulis butiran di ketiga-tiga dokumen berkenaan adalah berbeza.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Hamidi bahawa ketiga-tiga cek yang diterimanya itu merupakan ‘presigned cheques’.
Ketika pemeriksaan semula oleh Lee, saksi itu menjelaskan, beliau mengetahui ketiga-tiga cek tersebut adalah ‘presigned cheques’ selepas diberitahu oleh Mazlina bahawa untuk mempercepatkan urusan, beliau akan meminta Ahmad Zahid menandatangani cek kosong terlebih dahulu dan Mazlina akan menulis butiran pada cek.
“Bayaran untuk insurans saya nak guna cepat, tak nak cukai jalan mati jadi saya ‘kejar’ Mejar Mazlina suruh dia percepat keluarkan cek. Dia (Mejar Mazlina) minta Datuk Seri (Ahmad Zahid) sign dulu (cek), ini untuk insurans lah, kalau untuk benda lain saya tidak tahu,” katanya.
Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - BERNAMA
#kenderaan #Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur #perbicaraan #Yayasan Akalbudi #Zahid Hamidi
;