Duit simpanan belum cukup, impian Iffah ke USIM mungkin terpaksa dilupakan

Vivi Sumanti
Oktober 4, 2022 16:14 MYT
Iffah Shahira menujukkan surat tawaran melanjutkan pelajaran ke USIM. - Foto Astro AWANI
RANTAU PANJANG: Cita-cita untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah buat seorang pelajar dari Kampung Kursal, Rantau Panjang, Kelantan berkemungkinan terpaksa dilupakan apabila duit simpanannya masih belum mencukupi.
Pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari Maahad Ahmadi Tanah Merah, Iffah Shahira Zulkifli, 19, merupakan anak sulung dari sebuah keluarga yang kurang berkemampuan.
Ibunya, Rohana Mohd Nor kini menjadi tunggak utama keluarga dalam mencari pendapatan dengan mengambil upah menjahit selepas bapa remaja itu mengalami pelbagai kompikasi termasuk rabun akibat penyakit kencing manis.
Iffah ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, dia menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke USIM di Nilai, Negeri Sembilan, dalam bidang pengajian Sarjana Muda Pengajian Sunnah dan Pengurusan Maklumat, selepas mendapat kepujian dalam STAM yang lalu.
"Saya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke USIM, kena daftar secara dalam talian pada 7 Oktober depan dan daftar masuk pada 13 Oktober.
"Namun saya rasa hasrat itu terpaksa saya lupakan kerana duit tak cukup, walaupun saya bekerja di sebuah kedai peralatan pembinaan sebelum ini, namun simpanan tak mencukupi kerana daftar pengajian dan membeli peralatan dan sebagainya memerlukan wang yang mencukupi," katanya lagi.
Iffah berkata, wang simpanan yang ada tidak sampai RM1,000 manakala ibu yang mengambil upah menjahit pakaian tidak mampu membantu apatah lagi terpaksa menanggung lima lagi adiknya yang bersekolah menengah agama dan sekolah rendah.
Ayahnya pula tidak lagi boleh bekerja selepas mengalami masalah akibat penyakit kencing manis yang ditanggung.
"Saya memang berharap sangat dapat melangkah kaki ke menara gading kerana ianya harapan keluarga untuk melihat saya dapat meringankan beban ibu bapa.
"Saya anak yang sulung dan menjadi teladan kepada adik-adik yang lain," katanya.
Ketika ini keluarga Iffah mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM600 sebulan sejak bulan Jun 2022 yang lalu.
Kisah keluarga Iffah pernah disiarkan dalam Astro AWANI selepas terkesan akibat banjir luar jangka pada Mac lepas.
Mereka antara keluarga yang dilanda banjir buruk di Rantau Panjang, dengan segala peralatan persekolahan rosak kerana rumah dinaiki air.
Sementara itu, penyelaras badan bukan kerajaan Third Force Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar memaklumkan keluarga ini merupakan keluarga daif yang memerlukan bantuan.
Pihaknya juga turut membantu dan berusaha untuk meringan beban keluarga ini.
Tuan Zaimah merayu masyarakat di luar supaya turut membantu agar hasrat Iffah untuk ke menara gading dipermudahkan dan tercapai.
Untuk bantuan dan maklumat lanjut Tuan Zaimah boleh dihubungi di talian 012 9492923 manakala Iffah di talian 0139218065.
#tawaran belajar #USIM #tidak mampu #Iffah Shahira Zulkifli
;