Duit raya untuk kawan, 'jerung' dapat habuan

Sinar Harian
April 24, 2023 09:00 MYT
Perkongsian kod QR tanpa sekatan ibarat memberi makan kepada jerung-jerung tersebut. Akhirnya niat untuk bersedekah kepada kenalan tidak kesampaian. - Gambar hiasan
SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri masuk hari ketiga hari ini dan kemeriahannya masih terasa meskipun ada dalam kalangan kita sudah beransur-ansur pulang dari desa untuk kembali bekerja.
Seperti biasa, media sosial menjadi medan bukti meriahnya sambutan Aidilfitri yang diraikan apabila masing-masing sakan memuat naik gambar berpakaian sedondon seisi keluarga, pasangan, waima #teamsingle bersama majikan (kucing peliharaan).
Di sebalik peragaan baju raya menerusi pentas media sosial, nampaknya tahun ini dinding-dinding media sosial juga meriah dengan pameran kod QR.
Ada kod QR yang berwarna merah jambu, ada yang berwarna hitam. Kedua-duanya dikongsi dengan dua tujuan berbeza iaitu memberi duit raya dan meminta duit raya.
Begitulah pantasnya perkembangan teknologi hari ini apabila segalanya di hujung jari. Bahkan, tanpa menulis sebarang kata, perkongsian kod QR sudah diketahui maknanya.
Ramai juga dalam kalangan kenalan penulis yang berkongsi kod QR berwarna hitam daripada e-dompet, sebuah aplikasi yang menyediakan fungsi Money Packet bagi memudahkan pengguna menghantar duit raya kepada kenalan.
Begitu juga individu-individu terkenal di media sosial yang berkongsi kod QR sama untuk dikongsi secara rawak, ‘siapa cepat, dia dapat’.
Ada yang berjaya, ada yang hampa apabila Money Packet sudah habis ditebus dalam masa sangat singkat.
Di sebalik kekecewaan kenalan yang gagal menebus duit raya, terdapat individu yang meluahkan rasa terkilan setelah mendapati duit raya ditebus oleh individu-individu tidak dikenali, bahkan bukan dalam senarai rakan akaun media sosial mereka.
Di sinilah silapnya apabila tanpa sedar perkongsian kod QR di media sosial juga ibarat melepaskan ikan di lautan tanpa sekatan.
Niat untuk diberi kepada nelayan yang memerlukan tetapi disambar pula oleh ‘jerung-jerung’ yang kelaparan.
Ya, dalam lautan internet inilah ‘jerung-jerung’ atau erti kata mudahnya, scammer berumah tangga, beraya dan berkampung.
Perkongsian kod QR tanpa sekatan ibarat memberi makan kepada ‘jerung-jerung’ tersebut. Akhirnya niat untuk bersedekah kepada kenalan tidak kesampaian.
Belum lagi bercerita tentang perkongsian kod QR berwarna merah jambu iaitu kod QR bank yang dikongsi dengan tujuan meminta duit raya secara rawak.
Tindakan tersebut telah mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi kod QR bank peribadi secara meluas di laman sosial bagi mengelak mereka menjadi mangsa penipuan atas talian.
“Berhati-hati ketika memberikan kod QR akaun bank untuk tujuan menerima duit raya.
"Pendedahan maklumat akaun di media sosial adalah tidak digalakkan kerana dikhuatiri akan disalah guna oleh scammer melalui pancingan data bagi tujuan penyamaran dan penipuan kewangan,” menurut KPDN menerusi hantaran di laman sosial.
Mungkin hari ini ia nampak remeh kerana kepercayaan kita terhadap keselamatan sistem perbankan internet yang dijamin.
Namun, selagi belum terkena, selama itu kita akan buat sambil lewa.
Ini kerana ramai juga dalam kalangan mangsa-mangsa scammer sebelum ini bingung bagaimana mereka boleh menjadi mangsa.
Zaman sudah berubah, satu klik sahaja sudah boleh membawa padah.
Dalam pada itu, perihal meminta duit raya juga menimbulkan pertikaian kerana ia adalah perbuatan dilarang dalam agama Islam.
Hal itu telah dibangkitkan sejak beberapa tahun sebelum ini dan sepatutnya dalam meraikan kemenangan menyambut Syawal, ia tidak dilakukan, apatah lagi setelah sebulan mengharungi Ramadan yang penuh keberkatan. - Sinar Harian
#kod QR #duit raya #scammer #kpdn
;