Duit Petronas bayar tuntutan palsu GST? - Najib
Astro Awani
Februari 2, 2019 16:21 MYT
Februari 2, 2019 16:21 MYT
Adakah wang sebanyak RM19.2 bilion daripada RM82 bilion yang diambil dari Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan digunakan untuk membayar tututan GST yang didakwa dirompak Barisan Nasional (BN) sebelum ini?
Itu persoalan yang dibangkitkan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook beliau hari ini.
Dakwa Najib, selepas enam bulan laporan polis dibuat bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkenaan dakwaan itu, kerajaan Pakatan Harapan masih belum memaklumkan hasil siasatan berkenaan.
“Sudah masuk enam bulan, kerajaan PH masih belum maklumkan hasil siasatan polis tentang ‘rompakan’ yang sangat berat ini walaupun semua rekod-rekod ada di dalam tangan mereka.
“Bagaimanapun, laporan Audit Negara untuk isu ini yang dikeluarkan pada awal bulan Disember jelas menunjukkan bahagian besar tuntutan GST masih di dalam siasatan atau semakan,” kata Najib.
Menurut Najib, Laporan Audit sebelum ini menunjukkan bahawa ada tuntutan bayaran balik, yang mungkin tidak sah atau menunjukkan percubaan menipu kastam berjumlah RM3.90 bilion untuk mereka yang tiada pembekalan bercukai (no output tax) dan sejumlah RM3.52 bilion yang masih dalam siasatan.
Beliau turut mengambil contoh kes seorang peniaga dari Ipoh yang didakwa di mahkamah kerana cuba menipu tuntutan GST sebanyak RM22 juta dari kerajaan bulan lepas.
Dakwa Najib, terdapat banyak lagi kes seperti itu di mana puluhan juta ringgit wang kerajaan cuba ditipu oleh peniaga-peniaga melalui tuntutan GST yang palsu.
“Baru-baru ini, kita diberitahu bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan mengambil duit Petronas sebanyak RM82 bilion di mana sebahagian besar akan digunakan untuk membayar balik wang GST RM19.2 bilion dalam tahun ini walaupun kebanyakkan tuntutan-tuntutan ini masih dalam siasatan, dalam semakan atau memang tidak patut dibayar.
“Jika Guan Eng masih teruskan rancangannya untuk membayar balik tuntutan GST sebanyak RM19.2 bilion tanpa menyelesaikan semakan atau siasatan, maka PH telah merompak RM19.2 bilion dari Petronas untuk membayar peniaga-peniaga yang cuba menipu kerajaan,” dakwanya lagi.
#Barisan Nasional
#duit Petronas
#GST
#Khairy Jamaluddin
#Lim Guan Eng
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#Petronas
#tuntutan palsu