Duit belanja kahwin anak RM20,000 hangus dalam kebakaran
Sinar Harian
Mei 31, 2024 15:00 MYT
Mei 31, 2024 15:00 MYT
KOTA BHARU: Sepasang suami isteri bukan sahaja kerugian lebih RM250,000 malah tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran membabitkan lima buah rumah di Kampung Lundang awal pagi Jumaat.
Lebih menyedihkan, wang perbelanjaan untuk perkahwinan anak mereka pada September depan berjumlah RM20,000 turut hangus dalam sekelip mata.
Mangsa, Mohd Razali Yusof, 67, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi, dia dan keluarga sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kecil di luar bilik.
Warga emas itu memberitahu melihat api sedang marak dari luar bilik tidurnya dan terus mengejutkan isteri, Masheran Arifin, 57.
"Saya kemudian bergegas mendukung cucu yang berusia sembilan tahun keluar dari rumah tanpa sempat menyelamatkan barang-barang penting lain," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.
Mohd Razali berkata, musibah itu turut mengakibatkan barang kemas isterinya yang dianggarkan lebih RM50,000 hangus, selain Proton Prevenya dan Proton Persona serta motosikal Yamaha Y15ZR milik anaknya turut hangus 100 peratus.
Bagaimanapun, Mohd Razali bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.
Sementara itu, juruteknik elektrik, Mohd Shahrulnidzam Abdullah, 31, bersama empat ahli keluarganya terpaksa keluar melalui tingkap apabila api dari rumah jirannya merebak ke pintu utama kediaman mereka.
Jelasnya, ketika itu dia sedang nyenyak tidur dan tiba-tiba terasa bahang panas namun menyangka pendingin hawa rumahnya rosak.
Bagaimanapun, keadaan yang terlalu panas menyebabkan dia bangun dan ternampak api sedang marak dari rumah jiran.
"Saya terus berteriak mengejutkan ibu bapa, adik dan seorang anak saya berusia tiga tahun sebelum bergegas keluar melalui tingkap rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.
Mohd Shahrulnidzam memberitahu, kebakaran itu mengakibatkan kereta Perodua Kelisa hangus.
"Lebih menyedihkan, kereta Perodua Bezza yang baru dibeli tiga bulan lalu dan sebuah motosikal terpakai Honda Beat yang saya beli petang semalam (Khamis) turut terbakar dan rosak teruk," katanya.
Tambahnya, wang simpanan mereka berjumlah RM12,000 turut hangus.
"Kami semua bersyukur kerana tidak melibatkan sebarang kecederaan dan buat masa ini akan menumpang di rumah saudara terdekat," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman yang mendapat maklumat berkaitan kejadian itu turut hadir meninjau lokasi kebakaran dan bertanya khabar mangsa yang terlibat. - Sinar Harian