'Duit belanja anak bertambah tahun ini, mungkin hanya bawa bekal' - Ibu bapa
Mariah Ahmad
Januari 4, 2016 12:33 MYT
Januari 4, 2016 12:33 MYT
Sesi persekolahan 2016 telah pun bermula pada hari ini dan Astro AWANI sempat melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil di sini, untuk mendapatkan reaksi ibu bapa mengenai kos perbelanjaan persekolahan dan pendidikan anak-anak mereka.
Ada dalam kalangan mereka berkata, duit perbelanjaan harian persekolahan anak-anak bertambah berbanding tahun lepas.
"Bagi tahun ini, saya mahu cuba bagi RM2 untuk anak saya yang kini belajar tahun satu. Bagi yang darjah lima, biasanya saya bagi RM3.
"Tahun ini saya fikirkan dahulu sama ada duit belanja ini cukup ke tidak kerana kos sara hidup sangat mahal, harga barang pun mahal. Mungkin saya akan naikkan sikit duit belanja anak-anak saya.
"Saya juga mempunyai anak yang hari ini akan masuk prasekolah di sini. Anak saya yang ini tidak memberikan duit belanja sebab ada peruntukan bantuan makanan prasekolah dari kerajaan," kata pesara tentera, Che Su Deraman, 50.
Pelakon Along Eyzendy, 36, turut hadir pada hari pertama sekolah anaknya di sini pada hari ini, bagi membantu anaknya menguruskan wang perbelanjaan terutama ketika membeli makanan di kantin sekolah.
"Bagi hari pertama ini , saya mahu mengajar dia cara menggunakan duit di kantin. Saya nampak anak saya ini lebih suka membawa bekal sebab dia ada dua sesi persekolahan iaitu sekolah kebangsaan dan juga sekolah agama.
"Anak saya ini macam sudah faham-faham kos barangan pada situasi ekonomi sekarang meningkat kerana dia sendiri minta isteri saya untuk membawa bekal, hanya di sekolah agama dia minta duit belanja," katanya.
Di sekolah berkenaan, sepinggan nasi lemak dan mi goreng berharga antara RM1 hingga RM3, bergantung kepada saiz pinggan.
Sementara itu bagi suri rumah, Ainon Mohd Isa, 49, dia lebih selesa menyediakan makanan untuk anak-anaknya di sekolah, berbanding memberi duit belanja.
"Selama ini memang saya tidak pernah bagi duit belanja kepada anak-anak sebab saya sediakan makanan dari rumah. Saya lebih suka bagi anak-anak bawak bekal sebab saya boleh memilih dan menyediakan sendiri makanan yang sihat dan berkhasiat untuk anak-anak.
"Lagipun, membawa bekal memang lagi lebih murah berbanding memberi duit belanja harian kepada anak-anak," tambahnya lagi.
Seramai 259 pelajar tahun satu yang berdaftar di Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil bagi tahun 2016.