Dugro pasrah sambut Deepavali tanpa keluarga di Jepun
Astro Arena
November 4, 2021 09:49 MYT
November 4, 2021 09:49 MYT
JAGUH ragbi negara, K. Dineshwaran, mengakui merindui keluarganya di kampung dan hidangan enak bersempena sambutan Deepavali esok.
Bagaimanapun, pemain yang mesra disapa Dugro itu -- yang kini berada di Jepun bersama pasukan Hino Red Dolphin dalam Liga Terbaik Jepun (Japanese Top league) -- akur dengan perkara itu memandangkan ini bukan kali pertama dia meraikan perayaan itu di perantauan.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Yeoh Pek Xian, dia berkata: "Rindu? Benar, kebiasaannya apabila waktu festival seperti ini saya akan berasa rindu dan berharap saya berada di sana (bersama keluarga).
"Malam ini, mereka akan menghubungi saya dan berkata bahawa saya tiada bersama mereka dan ia tidak seperti Deepavali sebenar.
"Jadi, saya akan memberitahu mereka bahawa walaupun saya jauh daripada mereka, saya sentiasa mendoakan kebahagian mereka dan raikanlah segala-gala yang ada bersama mereka.
"Cuma raikannya dengan penuh gembira.
"(Sewaktu Deepavali) saya akan makan dengan banyak dan menghargai waktu saya bersama keluarga tanpa memikirkan perkara lain.
"Mungkin selepas latihan esok, saya akan ke kedai makan untuk mendapatkan nasi briyani atau sesuatu seperti itu," katanya.