Dugaan Ramadan: Rumah pusaka 80 tahun musnah dijilat api

Dewi Nur Harasha Alias
April 14, 2022 14:30 MYT
Norazian Ariffin, 46, berkata, dia tidak menyangka Ramadan kali ini dia sekeluarga diuji apabila rumah yang kini sedang dibaikpulih untuk keselesaan keluarga menyambut Aidilfitri kini musnah dijilat api. - Foto Astro AWANI
KEPALA BATAS: Seorang mangsa kebakaran rumah di Kuala Muda, Pulau Pinang hanya mampu melihat rumah pusaka peninggalan keluarga sejak 80 tahun lalu musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Norazian Ariffin, 46, berkata, dia tidak menyangka Ramadan kali ini dia sekeluarga diuji apabila rumah yang kini sedang dibaikpulih untuk keselesaan keluarga menyambut Aidilfitri kini musnah dijilat api.
Menceritakan kejadian, Norazian berkata, kebakaran berlaku kira-kira jam 6.40 pagi selepas mereka sekeluarga selesai bersahur dan solat Subuh.
Katanya, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menetap di Kampung Dua Puluh, dekat sini, dan bergegas pulang sebaik menerima panggilan telefon daripada jiran.
BACA: Empat buah rumah musnah dijilat api
Menurut Norazian, rumah pusaka tersebut sebelum ini dijaga anak saudaranya dan sedang dibaik pulih sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
"Saya diberitahu jiran bahawa api bermula dari rumah sebelah kami sebelum merebak ke dua rumah lagi.
"Rumah pusaka ini ditinggalkan sejak dua tahun lalu dan kami baru mengecat semula kerana merancang menyambut Aidilfitri bersama saudara mara tidak lama lagi tetapi impian tak kesampaian," katanya.
Norazian berkata, banyak barang dalam rumah berkenaan dan semuanya tidak sempat diselamatkan mengakibatkan kerugian kira-kira RM100,000.
Seorang lagi mangsa, Che Sayang Endut, 74, juga tidak sempat menyelamatkan barang berharga kerana api marak dengan cepat.
Warga emas berkenaan memberitahu, ketika kejadian dia sedang membaca Al-Quran sebelum terdengar bunyi benda terbakar.
"Mak cik tinggal dengan seorang anak perempuan dan seorang cucu.
"Anak mak cik berusia 49 tahun heret tangan mak cik keluar rumah ketika api sedang marak walaupun mak cik suruh dia keluar dulu.
"Syukur kami tiga beranak tidak mengalami kecederaan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Mohd Yusni Mat Piah turut hadir melawat dan memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran terbabit.
Terdahulu, empat buah rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kuala Muda Penaga, Pulau Pinang pagi tadi.
Kebakaran membabitkan empat rumah kelas B yang terletak bersebelahan yang setiap satunya berkeluasan kira-kira 56 meter persegi.
Tiada kemalangan jiwa mahupun mangsa terlibat .
#Ramadan #mangsa kebakaran #rumah pusaka #kebakaran #kuala muda
;