Dugaan Ramadan, 12 peniaga kerugian khemah diterbangkan ribut

Azee Shafy
April 6, 2022 06:30 MYT
Kira-kira 80 peratus peniaga mengalami kerugian besar apabila banyak juadah musnah, peralatan rosak dan ada yang kehilangan duit hasil berniaga. - Gambar/ Astro AWANI
BERA: Hujan lebat berserta angin kuat menyebabkan 12 khemah peniaga di tapak Bazar Ramadan Triang di sini rosak dipukul ribut, pada petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kebanyakan peniaga yang menjual minuman dan juadah berbuka puasa sedang menjalankan urus niaga sebelum keadaan bertukar panik.
Seorang peniaga, Siti Nor Faradila Che Yusof, 36 tahun, berkata juadah kuih yang masih yang belum habis dijual musnah semuanya dan tidak dapat diselamatkan.
Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas, sehinggakan dia bersama peniaga lain hanya mampu menyelamatkan diri tanpa menghiraukan barangan jualan dan peralatan di gerainya.
"Angin ribut datang dari belakang, dan khemah diterbangkan ke hadapan. Tapi masa kejadian, peniaga di hadapan sudah pun merendahkan khemah masing-masing. Jadi, khemah kami yang terbang ni turut merosakkan khemah hadapan.
"Tapi memang semuanya musnah. Bukan sahaja juadah tapi ada peralatan yang rosak. Saya pun tak pasti sama ada esok boleh berniaga atau tidak," katanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi peniaga, Rohana Waesatapor, 36 tahun, berkata kejadian itu menyebabkan khemah gerainya dihempap khemah yang terbang ditiup angin kencang, sekali gus menyebabkan barangan jualannya turut musnah.
Dia yang menjual juadah tomyam, memberitahu, semua hidangan musnah kerana meja yang digunakan untuk meletakkan juadah terbalik.
"Alhamdulillah semua selamat tiada yang cedera parah. Tapi kesian pada semua peniaga, semua juadah musnah. Apapun saya reda dengan apa yang berlaku. Ini ujian bagi kami," katanya.
Sementara itu, Fazli Yaakob, 34 tahun, berkata kejadian seumpama ini adalah yang pertama berlaku sepanjang dia berniaga di bazar Ramadan.
Katanya, kira-kira 80 peratus peniaga mengalami kerugian besar apabila banyak juadah musnah, peralatan rosak dan ada yang kehilangan duit hasil berniaga.
Fazli berkata, walaupun ada peniaga yang memegang tiang khemah bagi mengelak khemah diterbangkan, namun masing-masing tidak mampu bertahan lama.
"Angin terlampau kuat. Mula-mula tu, kami masih boleh menahan dengan pegang tiang khemah. Tapi 'serangan' angin kencang kali kedua tu memang tak boleh buat apa dah.
"Mereka terpaksa lepaskan tiang khemah. Jadi khemah tu diterbangkan ke khemah di hadapan. Masing-masing terpaksa tanggung kerugian cuma tidak pasti lagi jumlah kerugian" ujarnya
Pembekal khemah, Mohd John Jusa, 52 tahun, berkata, pihaknya turut memantau kawasan itu sebelum kejadian dan mendapati cuaca sangat baik.
Namun, keadaan berubah apabila hujan lebat beserta angin kencang melanda kawasan itu menyebabkan semua khemah mengalami kerosakan.
Katanya, pihaknya terpaksa membuka semula khemah-khemah di tapak Bazar Ramadan di sini dan menunggu arahan Majlis Daerah Bera untuk tindakan susulan.
#Khemah peniaga #ribut #Bera #Bazar Ramadan Triang
;